Topik diikuti
Pergi ke BHkuLanggar warga tua hingga sebabkan kecederaan: Lelaki dijel 9 minggu

SEORANG pekerja penghantaran makanan dijatuhkan hukuman penjara sembilan minggu dan denda $1,500 selepas didapati bersalah terlibat dalam dua kejadian berbeza hingga menyebabkan kecederaan pada mangsanya.
Tian Wei Jie, 35 tahun, semalam mengaku bersalah atas empat tuduhan, termasuk satu tuduhan menyerang serta satu tuduhan menyebabkan kecederaan serius dengan melakukan perbuatan terburu-buru, menurut laporan akhbar The Straits Times.
Pada kejadian pertama yang berlaku pada 7 Julai 2019, Tian sedang menggunakan telefon bimbitnya sambil menaiki alat mobiliti peribadinya sebelum melanggar seorang lelaki berusia 77 tahun.
Kejadian yang berlaku di sebuah laluan pejalan kaki di Blok 23 Bedok South Avenue 1, menyebabkan mangsa terpaksa digegaskan ke hospital sebelum didapati mengalami kecederaan otak.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Bryont Chin berkata mangsa terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawanya dan dimasukkan ke hospital selama 102 hari.
Beliau diberi 70 hari cuti sakit dan terpaksa menanggung lebih daripada $46,000 dalam perbelanjaan perubatan.
Ini dibiayai sepenuhnya oleh pembayaran MediShield, MediSave dan insurans.
Anak perempuan mangsa membuat laporan polis dan Tian telah diberkas pada 7 April tahun lalu.
Dalam kejadian berasingan yang berlaku awal tahun ini, Tian, yang ketika itu dibebaskan dengan ikat jamin, didapati melanggar seorang lelaki berusia 60 tahun.
Pada 7 Mac lalu, dia menyertai beberapa rakannya untuk minum enam botol bir di sebuah kedai kopi di Bedok North sebelum beredar sekitar 7 malam.
Tian, yang mabuk ketika itu dan menunggang basikal kuasa eletrik, kemudian melanggar mangsanya di laluan pejalan kaki berdekatan Blok 34 Bedok North Street 3.
Tian gagal membantu mangsanya itu, dan sebaliknya melontarkan kata-kata kesat dan menumbuk warga senja tersebut.
DPP Chin berkata: "Apabila mangsa menjawab bahawa dia tidak sepatutnya menunggang dengan cara yang berbahaya, tertuduh menjadi gelisah dan secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada mangsa... dengan menolak mangsa ke lantai dan menumbuknya beberapa kali."
Melihat orang ramai telah berkumpul, Tian dengan segera menunggang basikalnya dan meninggalkan tempat kejadian. Polis telah dimaklumkan sekitar 9 malam.
Mangsa yang mengalami kecederaan termasuk di bahagian lutut kanan, telah mendapatkan rawatan perubatan dan diberi cuti sakit selama dua hari.
Perbelanjaan perubatannya sebanyak $126 telah dibayar Tian sepenuhnya.
Peguam bela Dhanwant Singh memberitahu mahkamah bahawa Tian berasa kesal dan merayu agar dia dikenakan penjara sekitar enam minggu dan denda $1,500.
Tian ditawarkan ikat jamin sebanyak $15,000 dan diperintah untuk menyerah diri di Mahkamah Negeri pada 7 Disember untuk mula menjalani hukumannya.
Atas kesalahannya menyebabkan kecederaan parah dengan melakukan perbuatan terburu-buru, pesalah boleh dipenjara sehingga empat tahun dan denda sehingga $10,000.
