SEMUA penjual ikan segar dan makanan laut di pasar yang diuruskan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau operator yang dilantik oleh agensi ini tidak dibenarkan membuka gerai mereka pada pagi Ahad (18 Julai) sebagai langkah berjaga-jaga.
Menjelaskan demikian dalam satu kenyataan bersama (MOH-NEA) pada Ahad, NEA berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang jangkitan lanjutan berlaku dalam keadaan kelompok jangkitan Covid-19 melibatkan penjual ikan yang berkunjung ke Pelabuhan Perikanan Jurong bagi mengambil bekalan ikan dan menjualnya di pasar dikesan.
Gerai yang tidak menjual ikan segar atau makanan laut, bagaimanapun, boleh terus beroperasi sementara ujian pengendali gerai dijalankan dalam masa beberapa hari ini.
NEA juga menggesa semua pengendali gerai dan pembantu gerai agar menjalani ujian Covid-19 dan bagi semua pengunjung premis ini agar mengelakkan kesesakan di pusat makanan dan pasar.
Mereka harus mengunjungi tempat-tempat ini di luar waktu sibuk seberapa boleh dan secara tegas memerhatikan langkah pengurusan selamat yang diperkenalkan, tambah NEA.
Pengendali gerai telah menerima atau akan menerima pesanan SMS Amaran Risiko Kesihatan (HRW) daripada Kementerian Kesihatan (MOH). HRW bererti si penerima diperlukan mengikut undang-undang bagi menjalani ujian Reaksi Rantaian Polymerase (PCR) di pusat ujian khusus.
Sehingga diuji negatif, individu berkenaan diperlukan mengasingkan dirinya dan tidak meninggalkan rumahnya.
Penjual ikan dan makanan laut yang terjejas juga boleh berkunjung ke Pusat Pemeriksaan Serantau khusus di bekas tapak Sekolah Rendah Da Qiao di Ang Mo Kio, bekas tapak Sekolah Rendah Coral di Pasir Ris, bekas tapak Sekolah Menengah Bedok North, bekas tapak Sekolah Menengah Bishan Park dan bekas tapak Sekolah Menengah Shuqun bagi ujian ini.
Sejurus menerima keputusan ujian PCR yang negatif, mereka boleh meneruskan semula perniagaan mereka serta-merta.
Penjual ikan segar dan makanan laut juga akan diberikan kit Ujian Pantas Antigen (ART) dan diperlukan mentadbirnya sendiri pada hari ketujuh dari kali terakhir mereka terdedah pada individu yang berkemungkinan menghidap Covid-19.
Mereka juga akan diperlukan menjalani satu lagi ujian PCR di pusat ujian khusus sekitar hari ke-14 daripada tarikh pendedahan terakhir mereka pada kes Covid-19 yang diketahui.
MOH juga telah berurusan dengan NEA bagi menjalankan ujian Covid-19 buat semua pemilik gerai dan pembantu gerai di pasar dan gerai makanan yang dimasak di pusat makanan serta pasar yang diuruskan NEA atau operator lantikan NEA.
Pemilik gerai dan pembantu gerai akan menerima pesanan SMS dengan butiran tentang ujian yang dijadualkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg