Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah pantas polis selamat kanak-kanak dari lemas diiktiraf

Mar 25, 2021 | 5:30 AM
TERIMA DENGAN RENDAH HATI: Sarjan Al Asyraf Azman berterima kasih kerana diberi Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF. Beliau juga berpendapat sesiapa sahaja akan melakukan serupa jika menghadapi situasi yang sama. - Foto ZAOBAO
TERIMA DENGAN RENDAH HATI: Sarjan Al Asyraf Azman berterima kasih kerana diberi Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF. Beliau juga berpendapat sesiapa sahaja akan melakukan serupa jika menghadapi situasi yang sama. - Foto ZAOBAO -

SEORANG pegawai polis telah diberikan anugerah oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kerana menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun daripada lemas di kolam renang hotel.

Sarjan Al Asyraf Azman, 22 tahun, tidak bertugas pada hari kejadian pada 27 Februari itu dan berada di hotel tersebut bersama rakan-rakannya.

Semasa berenang sekitar 2.20 petang, Sarjan Asyraf terperasan kelibat seseorang berpakaian merah jambu di dasar kolam renang tersebut.

Apabila Sarjan Asyraf menghampiri tempat itu, yang berada sekitar 10 meter darinya, beliau terkejut untuk mendapati seorang kanak-kanak perempuan yang tidak bergerak.

Lantas, beliau membawa kanak-kanak itu keluar dari kolam dan melakukan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) terhadapnya.

Bersama ayah kanak-kanak perempuan itu, Sarjan Asyraf, yang telah menjalani latihan menyelamatkan nyawa di Pasukan Polis Singapura (SPF) mencuba sedaya upaya menyelamatkannya.

Akhirnya, kanak-kanak itu berjaya disedarkan dan dikejarkan ke hospital.

Bagi mengiktiraf respons pantas yang diberikan menyelamatkan kanak-kanak itu, meskipun tidak bertugas, Sarjan Asyraf telah diberikan Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF pada 17 Mac lalu.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Sarjan Asyraf, yang juga berpengalaman sebagai jurulatih kayak, berkata beliau hanya melakukan sesuatu yang akan dilakukan juga orang lain dalam keadaan sedemikian.

"Saya sangat berterima kasih kerana usaha saya diiktiraf dan diberikan anugerah ini," ujar Sarjan Asyraf, yang bertugas di Pondok Polis Kejiranan Nanyang.

Menurut beliau, latihan yang dijalaninya sebagai pegawai polis membantunya kekal tenang dalam keadaan tersebut.

"Namun, saya rasa sesiapa sahaja juga akan melakukan yang sedemikian dalam keadaan tersebut," ujar beliau lagi dengan rendah hati.

Sarjan Asyraf, yang pernah menuntut di Politeknik Republic, berkata beliau teringat anak saudaranya yang masih kecil apabila menyelamatkan kanak-kanak itu kerana tentunya mengharap orang lain akan melakukan perkara yang serupa jika kejadian tidak diingini berlaku ke atas anggota keluarganya sendiri.

"Saya sangat berterima kasih kerana usaha saya diiktiraf dan diberikan anugerah ini. Namun, saya rasa sesiapa sahaja juga akan melakukan yang sedemikian dalam keadaan tersebut." - Sarjan Al Asyraf Azman yang bertugas di Pondok Polis Kejiranan Nanyang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg