AGENSI Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menambah kakitangan yang dikerah ke dua pasar di Tekka dan Geylang Serai untuk memastikan langkah-langkah keselamatan terus dipatuhi.
Ini memandangkan jumlah pengunjung di dua pasar tersebut dijangka meningkat semasa tempoh Ramadan dan Hari Raya.
Kemasukan di dua pasar tersebut masih dihadkan berdasarkan jumlah maksimum 300 orang bagi Pasar Geylang Serai dan 200 orang di Pasar Tekka pada satu-satu masa, menurut jurucakap NEA.
Namun, demi memastikan jarak selamat dipatuhi, NEA boleh menghentikan kemasukan pengunjung ke dua pasar itu jika terdapat kesesakan di mana-mana bahagian pasar dan kawalan akses akan hanya dilonggarkan jika pasar tidak lagi sesak, tambahnya.
"NEA berharap orang ramai faham bahawa penyesuaian ini perlu untuk mengawal kesesakan dan menguatkuasakan langkah jarak selamat di pasar.
"Pengunjung juga mungkin perlu menunggu sebelum dapat masuk ke dua pasar popular ini," kata NEA dalam respons kepada pertanyaan Berita Harian.
Papan tanda yang menunjukkan masa menunggu untuk memasuki dua pasar itu akan dipaparkan.
NEA juga telah memastikan terdapat tanda di lantai sebagai panduan kepada pengunjung untuk mematuhi jarak selamat antara satu sama lain semasa menunggu untuk memasuki pasar atau semasa membeli belah.
Pengendali gerai juga telah diingatkan supaya tidak meletakkan barangan mereka di luar jika ia mengganggu jarak selamat yang ditetapkan.
Salah seorang pengunjung kerap ke pasar Tekka, Cik Zahara Samin, berkata beliau berasa senang hati melihat langkah-langkah keselamatan yang dikuatkuasakan.
Eksekutif pemasaran berusia 58 tahun itu biasanya akan ke sana setiap hujung minggu bersama teman-teman untuk membeli keperluan memasak.
Katanya: "Saya rasa langkah untuk menambah kakitangan jarak selamat di pasar ini baik untuk memastikan peraturan dipatuhi pengunjung.
"Dengan itu, kita sebagai pengunjung pun rasa lebih selamat, tak bimbang sangat," katanya.
Ditanya sama ada beliau menghadapi sebarang kesukaran untuk memasuki pasar itu semalam, Cik Zahara menjelaskan beliau akan mencari masa yang kurang sesak untuk berbelanja di sana.
Sementara itu, jurucakap NEA juga menggesa orang ramai supaya mengunjungi pasar semasa tempoh kurang sesak atau pada hari biasa.
"Kami juga meminta pengunjung dan pengendali gerai memahami bahawa kawalan akses dan langkah yang dikuatkuasakan ini perlu untuk memastikan jarak selamat yang berkesan serta mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam masyarakat," tambah kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg