Laporan IMH atas lelaki dituduh bunuh Felicia Teo kini siap
Laporan IMH atas lelaki dituduh bunuh Felicia Teo kini siap
SELEPAS menjalankan penilaian psikiatri, Institut Kesihatan Mental (IMH) telah menyiapkan laporan mengenai keadaan lelaki yang dituduh membunuh Cik Felicia Teo Wei Ling pada 2007.
Butiran laporan IMH itu, namun tidak didedahkan, lapor The Straits Times (ST), semasa lelaki tertuduh Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee kini berusia 36 tahun, menghadap mahkamah daerah semalam.
Ahmad Danial diwakili peguam Encik Shashi Nathan, Cik Tania Chin dan Cik Laura Yeo dari firma guaman Withers KhattarWong dan kini sedang ditahan reman.
Dia dijadual kembali dihadapkan ke mahkamah pada 11 Mac.
Warga Singapura itu dituduh membunuh Cik Teo, 19 tahun, di sebuah flat di Marine Terrace pada 30 Jun 2007.
Ahmad Danial dipercayai melakukan kesalahan itu bersama Ragil Putra Setia Sukmarahjana, kini 32 tahun.
Kededua lelaki itu dipercayai berkawan dengan Cik Teo.
Namun tidak dinyatakan di mahkamah semalam berhubung di mana lokasi mayat Cik Teo mahupun tentang siasatan terkini ke atas Ragil, yang dipercayai berada di luar negara.
Kehilangan Cik Teo pada 2007 menarik perhatian media selepas keluarga dan sebahagian rakannya merayu meminta bantuan mencarinya, kerana mereka tidak percaya remaja itu telah melarikan diri.
Kali terakhir mereka melihatnya ialah pada 29 Jun 2007, apabila Cik Teo meninggalkan rumahnya di Bras Basah.
Rakaman video menunjukkan Cik Teo memasuki lif di flat Marine Terrace bersama dua lelaki.
Dia tidak dilihat atau didengari lagi selepas itu.
Ibunya membuat laporan polis pada 3 Julai tahun itu.
Pegawai yang memulakan siasatan menyifatkan kehilangan Cik Teo sebagai kes orang yang hilang selepas gagal menghubungkan dua lelaki itu dengan kehilangannya.
Kededua lelaki itu telah memberitahu polis Cik Teo meninggalkan flat itu sendiri.
Justeru, keluarga Cik Teo dan rakan-rakannya mengadakan pencarian sendiri, melibatkan lebih 200 orang.
Sementara itu, polis mengadakan reviu tetap bagi kes tersebut.
Pada Julai tahun lalu, polis menemui bukti baru dan menangkap Ahmad Danial pada 15 Disember.
Ahmad Danial dituduh membunuh Cik Teo selang dua hari.
Jika sabit kesalahan membunuh, pesalah boleh dihukum mati.

