Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap dua studio senaman yang menggulung tikar secara serta merta.
Kyklos Studio dan X Fitness kededuanya dikendalikan oleh Encik Atlas Ang, 31 tahun.
Awal minggu ini, laman sesawang serta media sosial studio berkenaan dikatakan dikunci atau telah dipadamkan dengan pemiliknya tidak dapat dihubungi.
Percubaan The Straits Times untuk menghubunginya juga tidak berhasil.
Beberapa pelanggan memberitahu ST bahawa mereka membeli pakej antara $200 hingga $600, bimbang bahawa mereka tidak akan dapat mendapatkan semula wang mereka.
Turut dikongsi oleh beberapa pelanggan yang tidak mahu namanya disiarkan, mereka berkata mereka mengambil pakej itu kerana studionya kelihatan sesuai dan bertempat di pusat membeli-belah.
Seorang wanita berusia pertengahan 20an telah membelanjakan sekitar $300 Ogos lalu untuk pakej 20 kelas selepas menghadiri kelas percubaan.
"Saya pernah menandatangani pakej dengan studio lain dan perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini," tambahnya.
"Saya sangat kecewa kerana mereka tidak mengumumkan apa-apa pun di media sosial dan hilang begitu sahaja."
Beliau belum menghadiri satu kelas dan mendapat tahu tentang apa yang berlaku daripada seorang rakan.
Rakannya cuba menghadiri kelas dan mendapati studio itu dikunci.
Pengajar bebas di studio berkenaan juga tidak dapat menghubungi Encik Ang.
Studio itu menjalankan kelas-kelas mereka di pusat beli-belah GR.iD di Dhoby Ghaut dan Tekka Place di Serangoon.
Seorang jurucakap Tekka Place berkata, studio kecergasan itu bukan penyewa kedai di situ, tetapi akan menempah ruang acara untuk aktiviti kendalian mereka.
Pihak Polis mengesahkan beberapa laporan telah dibuat dan sedang menyiasat perkara itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg