Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Wanita Melayu masih kurang jalani saringan barah buah dada 

Jul 2, 2024 | 6:07 PM
Tanggapan salah tentang barah, ketakutan terhadap stigma, dan kebergantungan kepada terapi alternatif boleh menyebabkan sesetengah individu mengelak daripada mendapatkan bantuan perubatan sehingga gejala menjadi teruk.
Tanggapan salah tentang barah, ketakutan terhadap stigma, dan kebergantungan kepada terapi alternatif boleh menyebabkan sesetengah individu mengelak daripada mendapatkan bantuan perubatan sehingga gejala menjadi teruk. - Foto ISTOCK

Pantang larang budaya yang menyelubungi perbincangan mengenai kesihatan dan pemeriksaan buah dada, ditambah pula dengan kurangnya kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal, adalah antara faktor yang menyumbang kepada diagnosis barah buah dada di peringkat lewat, khususnya di kalangan wanita Melayu.

Demikian adalah beberapa dapatan dari bengkel pelbagai sektor yang dianjurkan oleh Yayasan Barah Buah Dada (BCF) dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Roche dan Persatuan Kesihatan Tingkah Laku Singapura.

Bengkel awal tahun ini melibatkan pertubuhan Melayu Islam, agensi pemerintah dan karyawan perubatan bagi tangani jurang kesihatan kritikal yang dihadapi wanita Melayu di Singapura yang hidup dengan barah buah dada.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada 2 Julai di bengkel tersebut, sehingga 2022, hampir 37.6 peratus daripada wanita di Singapura yang berusia 50 hingga 69 tahun menyertai saringan barah buah dada.

Namun dalam lingkungan masyarakat Melayu, hanya 21.5 peratus daripada wanita dalam kumpulan umur itu telah mendapatkan saringan.

Jurang perbezaan ini menonjolkan cabaran besar dihadapi wanita Melayu dalam mendapatkan pemeriksaan dan rawatan barah buah dada yang tepat pada masa.

Laporan keluaran BCF dengan kerjasama Roche dan Persatuan Kesihatan Tingkah Laku Singapura juga menunjukkan, kepercayaan budaya dan norma masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku menjaga kesihatan di kalangan wanita Melayu.

Tanggapan salah tentang barah, ketakutan terhadap stigma, dan bergantung kepada terapi alternatif boleh menyebabkan sesetengah individu mengelak daripada mendapatkan bantuan perubatan sehingga gejala menjadi teruk.

Selain itu, kewajipan kekeluargaan dan tanggungjawab mengasuh boleh menghalang wanita daripada mengutamakan keperluan kesihatan mereka.

Dalam pada itu, dengan meningkatkan kesedaran dan pendidikan di kalangan masyarakat melalui program pendidikan berasaskan sekolah, ia dapat menyemai tabiat pengurusan kesihatan dan pengesanan awal proaktif sepanjang hayat.

Cara-cara lain termasuk penganjuran bengkel dan seminar bagi kesihatan buah dada dan kesedaran kanser yang disasarkan secara khusus pada wanita Melayu.

Ini meliputi topik seperti kepentingan pemeriksaan buah dada sendiri, faktor risiko untuk barah buah dada, dan faedah daripada pemeriksaan tetap.

Dengan membawa perkhidmatan saringan langsung kepada masyarakat menerusi ‘mammobus’ di masjid-masjid, ia menyediakan akses mudah kepada mamogram dan pemeriksaan klinikal buah dada kepada masyarakat.

Ia juga dapat mengatasi halangan yang berkaitan dengan rasa tidak selamat, pengangkutan, dan akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan.

Satu cara yang berpotensi menggalak lebih ramai wanita Melayu membangunkan amalan kesihatan buah dada adalah dengan menubuhkan kumpulan sokongan rakan sebaya di peringkat akar umbi dan institusi agama.

Rangkaian sokongan rakan sebaya boleh membantu mengurangkan perasaan terasing dan memperkasakan wanita untuk mengharungi perjalanan barah mereka dengan daya tahan dan keyakinan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg