Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan WEF: Teknologi, perubatan, bantuan sosial S'pura kukuh

Dec 17, 2020 | 5:30 AM
fd8b6e81-4321-4aa0-92aa-83d49deb2bb7
-

BUAT julung-julung kalinya sejak dilancarkan 40 tahun lalu, Laporan Daya Saing Global anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah digantung. Laporan tersebut lazimnya menampilkan ranking tahunan tahap daya saing antara negara.

Kini, WEF menumpukan perhatian terhadap ciri-ciri yang mampu memperkukuh usaha rombakan ekonomi sesebuah negara meniti masa depan. Hal ini demikian kerana ekonomi dunia perlu dipulihkan dan terdapat data yang tidak dicatatkan ekoran pandemik Covid-19, menurut kenyataan laporan tahunan WEF yang ditukil akhbar The Straits Times semalam.

"WEF sudah lama menggalak penggubal dasar negara supaya memperluas cakupan tumpuan masing-masing daripada pertumbuhan jangka masa pendek kepada kemajuan jangka masa panjang. Oleh sebab itu, laporan ini memperjelas keutamaan menjadikan ekonomi mampu meningkatkan daya penghasilan, mampan dan inklusif sedang kita berusaha mengeluarkan diri daripada krisis ini. Tuntutan rombakan sistem ekonomi kini lebih besar daripada kebiasaan," ujar Profesor Klaus Schwab, pengasas dan pengerusi eksekutif WEF.

Justeru WEF telah mengenal pasti 11 titik tumpuan daripada empat bidang utama untuk dianalisis, iaitu persekitaran, modal insan, pasaran dan ekosistem berinovasi.

Menurut WEF, negara seperti Singapura yang maju dari segi teknologi berupaya menghadapi impak pandemik Covid-19. Perkara itu disebabkan wujudnya bantuan sosial yang kukuh dan sistem penjagaan kesihatan yang mantap.

"Sungguhpun keutamaan dunia sekarang ialah tindak balas terhadap krisis kesihatan, saat ini juga menentukan cara kita membentuk sistem ekonomi buat masa depan agar mereka bukan sahaja memiliki daya penghasilan malah mengekalkan kemampanan persekitaran dan kemajuan bersama," ujar WEF.

Dari segi pembangunan modal insan, Singapura berada di paras yang sama dengan Finland berkaitan sistem pendidikan peringkat tinggi yang mampu memenuhi keperluan majikan. Republik ini mencatat 79 daripada 100 mata di belakang Switzerland yang mencapai 82 mata.

Secara keseluruhannya, laporan tersebut menunjukkan juga bahawa pembangunan modal insan di negara maju tidak berkembang sepanjang 10 tahun lalu.

"Dalam kalangan negara membangun dan maju, jurang keupayaan kekal besar. Sistem pendidikan setempat didapati semakin lapuk dan wujud juga keterbatasan menembus pasaran antarabangsa," ujar WEF.

Tambahnya, fenomena kekurangan tenaga kerja yang berbakat di dunia akan berterusan sekiranya pihak berkuasa tidak memperkukuh program meningkatkan serta memperbaiki kemahiran warga. Contoh negara yang telah membiayai kursus peningkatan kemahiran tambahan buat pekerja ialah Singapura dan Perancis.

Dari segi bantuan sosial dan kecelikan isu kewangan, ekonomi yang kukuh seperti Denmark, Finland dan Norway didapati berupaya menjaga periuk nasi warga. Laporan tersebut turut menukil Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai contoh ekonomi dengan sistem kewangan utuh. Perkara itu bermakna negara tersebut berupaya meminjamkan wang kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) serta membantu mereka menakat.

Dari segi tadbir urus dan perancangan, negara yang mampu merancang dan menyelaras langkah penjagaan kesihatan dengan dasar kewangan dan sosial didapati lebih berjaya mengendalikan kesan krisis, menurut laporan. Contoh negara yang diperhatikan "agak berjaya" mencapai perkara tersebut ialah Singapura, Switzerland, Luxembourg, Austria dan UAE.

Dari segi keupayaan sistem penjagaan kesihatan dan penyelidikan pula, bukti menunjukkan bahawa negara yang pernah menghadapi epidemik koronavirus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) misalnya Korea Selatan, Singapura dan Taiwan mempunyai protokol yang lebih baik. Sistem teknologi yang dimiliki juga mampu mengawal penularan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, negara yang memiliki keupayaan bioteknologi yang lebih canggih dan jalinan universiti masing-masing dengan pihak industri, umpamanya Switzerland, Amerika dan Belanda, didapati berjaya mencari huraian sesuai bagi menghadapi pandemik lain pada masa depan.

Berkenaan transformasi digital, Singapura berada di kedudukan ketiga dalam senarai 10 ekonomi yang mempunyai rangka kerja undang-undang digital yang kukuh. Amerika berada di tempat pertama, diikuti Luxembourg.

Singapura juga dinilai sebagai antara yang baik dari segi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, iaitu tempat keenam, dan menggarap kemahiran digital, iaitu tempat keenam juga. Namun, republik ini bukanlah antara 10 negara terbaik bagi menganjurkan pilihan kerja fleksibel seperti pasukan maya dan bekerja di luar pejabat.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa pihak berkuasa harus membantu syarikat membiayai peralihan kepada model perniagaan digital, melabur dalam pembangunan prasarana infokom dan meraih kemahiran digital serta menyemak rangka kerja undang-undang digital. Hakikatnya, tidak banyak negara berupaya mencapai kemajuan dalam aspek-aspek berkenaan.

Berkaitan tenaga kerja, Singapura antara 30 daripada 141 ekonomi ditinjau yang menunjukkan bahawa usaha menggajikan pekerja asing telah menjadi sukar berbanding 2008. Turut menghadapi masalah sama ialah Austria, Switzerland, Denmark, Italy, Iceland, United Kingdom dan Sweden.

Menurut laporan, dasar penghijrahan yang diketatkan mengakibatkan pihak syarikat menghadapi kesukaran menggajikan pekerja yang diperlukan. Lanjutan itu, pandemik Covid-19 telah mengurangkan lagi sifat keterbukaan sempadan. Maka wujud pula risiko dasar perlindungan ekonomi yang berterusan.

Akhir sekali, WEF berkata laporan 2021 akan kembali mengikut format ranking dengan rangka kerja diperbaharui untuk memacu pertumbuhan ekonomi masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg