Topik diikuti
Pergi ke BHkuLarangan lawat wad hospital selama 4 minggu hingga 23 Okt
MOH: Sekatan dilaksana di tengah-tengah kenaikan kes Covid-19 dalam kalangan kakitangan, pesakit dan pengunjung hospital
Larangan lawat wad hospital selama 4 minggu hingga 23 Okt
ORANG ramai tidak akan dibenarkan mengunjungi wad hospital selama empat minggu mulai esok hingga 23 Oktober, kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Sekatan yang diperketat itu dilaksanakan di tengah-tengah kenaikan kes Covid-19 dalam masyarakat dan akibat lebih banyak kes yang dikesan dalam kalangan kakitangan hospital, pesakit dan pelawat.
Jangkitan itu telah menyebabkan penutupan wad dan kakitangan dikuarantin, memberi tekanan pada kapasiti katil hospital dan kakitangan.
Ini berlaku sedang lebih banyak katil hospital diperlukan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital, kata MOH.
Kementerian itu menambah bahawa mulai esok, pesakit berisiko tinggi - tidak kira status vaksinasi mereka - akan juga wajib menjalani ujian pantas antigen (ART) di jabatan kecemasan hospital.
MOH menyatakan bahawa kumpulan pesakit tertentu akan dibenarkan lawatan bergantung pada setiap kes yang dinilai oleh pihak hospital.
Mereka termasuk pesakit yang berada dalam keadaan kritikal, pesakit kanak-kanak, ibu yang sedang atau selepas bersalin, dan pesakit yang memerlukan sokongan penjagaan tambahan daripada pengasuh.
Kelonggaran itu juga diberikan kepada pesakit di hospital yang mempunyai ketidakupayaan mental atau ahli keluarga yang menjalani latihan pengasuh untuk menjaga orang yang disayangi setelah mereka keluar hospital.
Pesakit sedemikian hanya akan dibenarkan satu pelawat yang telah ditentukan sebelumnya, untuk membuat satu lawatan setiap hari.
Pesakit dalam keadaan kritikal mungkin akan dibenarkan sehingga lima pelawat yang telah ditentukan sebelumnya, dengan maksimum dua pelawat di sisi katil pesakit pada satu-satu masa.
Namun, semua pelawat yang diluluskan perlu menghasilkan keputusan ujian ART atau reaksi rantai polimerase (PCR) negatif yang diperoleh dalam tempoh 24 jam sebelum setiap lawatan.
"Ini adalah peraturan wajib untuk semua pelawat, tidak kira status vaksinasi individu, kecuali mereka yang telah pulih daripada Covid-19 dan dapat mengemukakan notis pengecualian ujian praacara (PET) yang sah," kata MOH.
Ia menambah bahawa semua pelawat mesti memakai pelitup dengan saringan yang baik pada setiap waktu, termasuk pelitup pembedahan dan pelitup yang boleh diguna semula diperbuat daripada dua lapisan fabrik.
Makanan atau minuman juga tidak akan dibenarkan dalam wad pesakit.
Sementara itu, MOH juga memperkenalkan langkah membantu jabatan kecemasan (ED), yang biasanya sibuk.
"Buat masa ini, pesakit yang menunjukkan simptom jangkitan pernafasan akut (ARI) di ED hospital atau klinik kecemasan 24 jam akan diasingkan daripada pesakit lain.
"Namun, dengan lebih banyak kes Covid-19 yang menunjukkan mereka mengalami simptom awal atau tiada simptom, ujian akan diperlukan untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 di ED," kata MOH
Justeru, MOH berkata pesakit berisiko tinggi - tidak kira status vaksinasi mereka - akan wajib menjalani ART di ED atau klinik kecemasan 24 jam.
Kementerian itu menambah bahawa pemerintah akan membiayai kos ART bagi pesakit yang telah divaksin dan belum divaksin sehingga hujung tahun ini.
Mereka yang menemani pesakit mungkin harus membayar ujian mereka, bergantung pada hospital, tambahnya.