Sebanyak $557,370 dikumpul bagi Dana Reben Kuning melalui acara Larian Penjara Reben Kuning 2024, jumlah tertinggi sejak acara larian tahunan itu bermula pada 2009.
Ia juga mencatatkan jumlah rekod tertinggi bagi peserta antarabangsa seramai 173 orang, daripada sebanyak 11,000 peserta.
Dari 2009 hingga 2023, larian itu – yang dianjurkan bersama oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG) – telah mengumpul sekitar $1,705,625 dan menarik 108,500 peserta.
Acara larian ke-15 pada 1 September itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-20 Projek Reben Kuning (YRP). Ia dihadiri oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo.
Encik Lee mengibarkan bendera sebagai tanda bermulanya larian riadah sepanjang lima kilometer dan perlumbaan kompetitif sejauh 10 kilometer.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan menghargai usaha gigih Projek Reben Kuning dalam membantu banduan kembali ke pangkal jalan.
Encik Lee, yang turut gembira dengan sambutan baik bagi acara tahun ini, berkata: “Anda perlu merasai keperluan individu tersebut, membantu mereka dalam perjalanan mereka, memahami arah yang perlu dituju, dan memberikan bantuan tambahan dalam perjalanan mereka ke arah itu.”
“Apabila seseorang dipenjarakan di Singapura, matlamat kita bukan sekadar menghukum, tetapi juga perubahan dan pemulihan serta membantu menjalani perjalanan ini bersama mereka,” ujarnya.
Dana yang dikumpul itu akan disalurkan ke pelbagai program yang menyokong pemulihan dan integrasi semula banduan dan bekas pesalah.
Ia juga akan digunakan untuk menyokong keluarga dan anak mereka demi mencegah jenayah antara generasi.
Bertemakan ‘Sebuah Negara Melebihi Peluang Kedua’, larian itu bertujuan memperjuangkan sebuah masyarakat inklusif, dengan banduan dan bekas pesalah mempunyai peluang kedua untuk mengubah hidup mereka dan menyumbang kepada masyarakat.
Acara itu kekal sebagai satu-satunya larian yang memberi peserta akses unik berlari sepanjang tembok ikonik Penjara Changi dan melihat dari lebih dekat Kompleks Penjara Changi.
Selain larian lima dan 10 kilometer, edisi kali ini juga menampilkan 700m Kids Dash, yang diadakan buat pertama kali.
Acara larian 700 meter untuk kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun itu berlangsung di dalam Kompleks Penjara Changi.
Ia bertujuan untuk memperkenalkan dan memberi inspirasi kepada generasi muda kepada usaha Reben Kuning.
Reben Kuning juga mengadakan sebuah karnival, yang merangkumi persembahan pentas oleh bekas pesalah berbakat dari Pusat Seni Persembahan Reben Kuning, serta pameran yang mempamerkan perjalanan transformasi bekas pesalah.
Kemuncak pameran ini adalah penciptaan karya seni kolaboratif yang melibatkan peserta larian, di mana mereka turut mewarnakan potongan rama-rama dan menampalnya pada replika 3D Tembok Penjara Changi.
Ia untuk melambangkan transformasi positif banduan dan bekas pesalah apabila mereka diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Antara individu yang memperoleh manfaat dari program Reben Kuning ialah bekas pesalah, Encik Abdul Rahim Daud, 43 tahun.
Pengurus logistik di sebuah syarikat berbilang negara (MNC) itu berkata melalui program Reben Kuning beliau diberi tawaran bekerja di syarikatnya sekarang.
“Seperti anda lihat hari ini, semua orang sama. Bekas pesalah dan masyarakat awam berlari bersama memakai baju warna kuning. Semua di sini tidak dilihat pada latar belakang mereka, tidak dilabel,” kata beliau kepada Berita Harian.
Seorang lagi bekas pesalah, Cik Susanty Yaakop, yang baru selesai mengikuti kursus diploma dalam kaunseling di Kaplan, berkata: “Acara ini mencerminkan bagaimana orang ramai menyokong Reben Kuning.
“Apabila mereka menyertai larian ini, mereka perlu bayar. Dan ini menunjukkan bahawa masyarakat ingin menyumbang kepada pembangunan bekas pesalah,” ujar beliau yang menerima dermasiswa daripada Reben Kuning untuk pendidikan diplomanya di Kaplan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg