Topik diikuti
Pergi ke BHkuLatihan AI, langganan ChatGPT percuma bagi pekerja platform, peniaga Grab bangun idea niaga
Latihan AI, langganan ChatGPT percuma bagi pekerja platform, peniaga Grab bangun idea niaga
Latihan AI, langganan ChatGPT percuma bagi pekerja platform, peniaga Grab bangun idea niaga
Selepas enam tahun bekerja sebagai pemandu teksi, Cik Putri Aziella bersedia untuk menamatkan kerjaya itu pada November apabila kontraknya tamat, dan menumpukan lebih banyak masa kepada minat sebenarnya – iaitu membakar kek, biskut, roti gulung dan brownies.
Setelah mula menjual hasil kuih-muihnya melalui TikTok pada awal tahun ini, beliau berharap dapat meluaskan jangkauan perniagaannya dengan mewujudkan laman web dan menu yang menarik secara visual – namun tugas-tugas sebegini sering dirasakan sukar dicapai tanpa kemahiran teknikal.
Hambatan sebegini mungkin tidak lagi menjadi kebimbangan besar bagi Cik Putri Aziella, memandangkan kecerdasan buatan (AI) dapat membantunya mengatasi beberapa cabaran tersebut.
Beliau merupakan antara kumpulan pertama rakan pemandu, penghantar dan peniaga Grab di Singapura yang menyertai bengkel GO Forward with AI, atau Maju ke Hadapan dengan AI, satu program latihan yang dianjurkan oleh Grab dan OpenAI bagi mengajar kemahiran AI secara praktikal.
Program selama dua tahun itu dilancarkan pada 23 September dan akan diperluaskan untuk melibatkan lebih 30,000 pekerja ekonomi gig serta peniaga di seluruh Asia Tenggara, termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Di Singapura, para peserta boleh mendaftar untuk bengkel separuh hari secara percuma.
Melaluinya, mereka akan mempelajari kemahiran seperti menghasilkan reka bentuk produk, membina laman web yang berfungsi, serta menilai permintaan terhadap idea perniagaan – semuanya hanya dengan menggunakan arahan dalam bahasa yang menjadi kebiasaan tanpa memerlukan kemahiran pengekodan.
Selepas bengkel tersebut, peserta juga akan menerima langganan percuma selama tiga bulan untuk ChatGPT Plus.
Ia merupakan versi premium alat AI tersebut yang memberikan akses kepada model AI yang lebih pintar, had arahan yang lebih tinggi serta keupayaan untuk menghasilkan produk yang berfungsi tanpa memerlukan pengetahuan pengekodan.