PEKERJA asing dan pengendali dormitori akan disediakan latihan dan bahan pendidikan di bawah satu program baru dalam usaha memperkukuh langkah kehidupan selamat di dormitori dan mengurangkan risiko penularan jangkitan.
Program Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (IPC) lima minggu itu, yang dilancarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam, dibangunkan oleh Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Pelibatan (Ace) kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH).
Ia juga telah mengadakan konsultasi dengan pakar penyakit berjangkit dan memanfaatkan dapatan wawancara dan kajian mengenai kebersihan diri dan tingkah laku sosial pekerja asing.
MOM berkata dalam satu kenyataannya semalam langkah dalam program IPC itu "bertujuan menangani jurang pengetahuan dan tingkah laku pekerja dan pengendali dormitori".
Antara langkah kehidupan selamat itu ialah penggunaan pelitup, amalan jarak selamat, waktu diatur bagi penggunaan kemudahan umum dan pencegahan campur gaul dalam kalangan penghuni dormitori.
Di bawah program itu, penghuni dormitori akan disediakan bahan pendidikan untuk mempertingkat pengetahuan dan amalan langkah kehidupan selamat yang terdapat dalam IPC menerusi aplikasi FWMOMCare.
Ini merangkumi siri video pendidikan, webinar, infografik, poster dan kuiz yang disediakan dalam empat bahasa - Bengali, Tamil, Mandarin dan Inggeris.
Pengendali dan kakitangan dormitori pula akan disediakan bahan latihan dalam talian dan senarai semakan untuk mempertingkat pengetahuan mereka tentang prinsip IPC dan melakukan penilaian sendiri.
Ini demi memastikan mereka dapat melaksana sistem pengurusan baik bagi mematuhi langkah-langkah IPC dan mengambil tindakan pembetulan segera jika terdapat kelemahan.
Pegawai MOM yang menjadi anggota Pasukan Jaminan dan Sokongan ke Hadapan (Fast) dan relawan yang menyokong mereka akan dilatih menjalankan audit dengan kerap bagi memastikan dormitori dan penghuninya mematuhi langkah-langkah IPC.
Usaha itu akan turut melibatkan lebih 100 relawan Kor Jagaan Kesihatan Singapura, termasuk 40 jururawat.
Mereka akan melakukan audit dalam lima bidang utama - kebersihan tangan, penggunaan pelitup, jarak selamat, kebersihan bilik, dan kesedaran kesihatan meluas.
Fast akan menjalankan audit IPC ke atas dormitori yang mempunyai 500 atau lebih penghuni sekurang-kurangnya sekali seminggu. Bagi dormitori lain, audit akan dilaksana semasa pemeriksaan rutin.
Pengarah (Perubatan) Kumpulan Ace, Encik Lam Meng Chon, berkata dalam satu taklimat media menerusi Zoom semalam bahawa usaha IPC itu menyokong langkah kehidupan selamat, yang merupakan barisan pertahanan pertama dalam menentang Covid-19.
"Kami berharap pengendali dan kakitangan dormitori dan pekerja dapat terus melindungi diri mereka sendiri, dan dapat mengenal pasti bidang peningkatan, dan melaksana tindakan pembetulan, dan terutamanya secara berterusan, dormitori boleh kekal selamat, dan mengurangkan risiko Covid-19.
"Menerusi usaha pendidikan dan audit ini, pekerja boleh terus menikmati kegiatan seharian dan terus bekerja," kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg