SATU latihan persediaan kecemasan telah dijalankan di Stesen MRT Holland Village (Laluan Circle) semalam.
Latihan persediaan kecemasan itu merupakan sebahagian daripada usaha Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menilai langkah keselamatan secara kerap dengan operator pengangkutan awam dan agensi-agensi yang berkaitan.
Diberi nama Latihan Kawalan Stesen, ia diadakan dengan tujuanmemperkukuh langkah keselamatan SMRT, mengatur pelan di luar jangkaan dan persediaan operasi di laluan pengangkutan awam semasa situasi keselamatan memuncak.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman keselamatan yang dihadapi Singapura, serta membiasakan penumpang dengan cara memberi respons sekiranya timbul situasi kecemasan dalam rangkaian pengangkutan awam.
Ia merupakan latihan persediaan kecemasan kedua yang dijalankan untuk laluan pengangkutan awam tahun ini, menyusuli satu latihan di Stesen MRT Newton (Laluan Downtown) pada Februari lalu.
Semasa latihan semalam, penumpang yang masuk ke stesen MRT Holland Village perlu menjalani pemeriksaan keselamatan, justeru menambah masa perjalanan.
Sebagai sebahagian ujian keselamatan, penumpang perlu melalui alat pengesanan pemeriksaan dan meletak barangan dalam sistem imbasan X-ray sebelum melepasi kawasan halangan tambang (faregate).
Dalam satu kenyataan, Ketua Eksekutif LTA yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Awam, Encik Ngien Hoon Ping, berkata:
"Dengan bertambahnya ancaman keselamatan, terdapat keperluan bagi pihak berkuasa dan orang awam meningkatkan pemantauan, bersedia dan memberi respons kepada ancaman yang boleh berlaku.
"Latihan Kawalan Stesen membenarkan LTA dan operator pengangkutan awam menilai dan memperkukuh langkah keselamatan, agar kita dapat memberi respons segera dan berkesan menyusuli insiden yang berlaku dalam rangkaian pengangkutan awam.
"Sejajar dengan gerakan SGSecure, orang awam boleh menjangkakan lebih banyak latihan bersama sebegitu diadakan."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg