ISLAM sangat mengutamakan keselamatan jiwa, dan setiap Muslim dilarang melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain seperti yang tercatat dalam hadis ini: "Tidak boleh mendatangkan bahaya untuk diri sendiri dan orang lain." (Hadis riwayat Ibn Majah).
Hadis itu membuktikan kepentingan menyelamatkan dan melindungi nyawa seseorang daripada sebarang bentuk ancaman bahaya atau kecemasan.
Oleh itu, Masjid Hasanah telah melakarkan Program Persediaan Kecemasan Komuniti (CEPP) atau lebih dikenali sebagai 'Community Emergency Preparedness Programme' pada 7 Januari lalu bagi meningkatkan pengetahuan keselamatan dan kesediaan ilmu kecemasan kepada para jemaah.
Masjid Hasanah telah mengundang jemaah, sukarelawan, termasuk belia dan para penduduk dari Kawasan Teban dan Pandan untuk bersama-sama menyertai program CEPP.
Seorang ahli Pentadbir Masjid Hasanah, Encik Kadir Osman menerangkan: "Masjid bukan saja berfungsi sebagai institusi keagamaan, tetapi juga sebuah institusi yang merangkumi bidang ilmu ukhrawi dan duniawi.
"Oleh itu, program kesedaran sebegini sangat digalakkan dianjur di masjid bagi memastikan jemaah tahu dan dapat mengendalikan situasi, jika berlaku kecemasan."
Dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Singapura, Masjid Hasanah memastikan program ini berjalan lancar di bawah bimbingan Penolong Pegawai Penglibatan Masyarakat, Encik Ratuwi Matban.
Encik Ratuwi berkata CEPP menumpukan perhatian kepada kemahiran menyelamatkan nyawa seseorang dalam situasi kecemasan.
"Melalui program ini, para jemaah diperkenalkan dengan khidmat Latihan CPR ini (Cardiopulmonary Resuscitation) dan juga AED (Automated External Defibrillator).
"Mereka akan mempelajari prosedur kecemasan sambil diberi peluang secara langsung untuk penglibatan praktikal agar lebih memahami kaedah-kaedah yang diperkenalkan," jelas Encik Ratuwi.
Sehubungan itu, program ini turut disertai oleh golongan warga emas yang sangat teruja untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kecemasan dalam CEPP.
Salah seorang pesertanya, Cik Sutimah Saroni, berkata:
"Saya sangat berterima kasih kepada pihak Masjid Hasanah kerana menganjurkan program CEPP.
"Program seperti ini telah memberi banyak ilmu pengetahuan kepada saya, termasuklah cara menggunakan AED dan melakukan CPR, terutamanya apabila seseorang itu berada dalam kecemasan."
Sejajar dengan itu, besar harapan yang ingin dicapai Masjid Hasanah untuk melihat lebih ramai jemaah yang dapat mengikuti program seperti ini pada masa depan.
Seseorang yang mempraktikkan ilmu melalui kursus ini bukan saja boleh membantu menyelamatkan nyawa sendiri dan keluarga, tetapi juga orang lain, apabila berlaku sesuatu kecemasan yang tidak dijangkakan.
CARA MENYUMBANG
- Paynow ke UEN: S70MQ0042B
- Pindahan wang ke akaun semasa OCBC 591-070164-001. Isikan di ruang rujukan dengan "wakaf" atau "infak". Jika anda inginkan resit, sila isikan borang di www.linktr.ee/hasanahmosque
- Hantarkan melalui cek kepada "LPM Hasanah". Poskan ke alamat Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878.
Tuliskan nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek.
- Untuk pertanyaan, sila hubungi pejabat Masjid Hasanah di talian +65 6561-7990, Isnin hingga Jumaat (9 pagi - 5 petang) atau Sabtu dan Ahad (9 pagi - 1 tengah hari).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg