Institusi pengajian tinggi tempatan melancarkan kursus baru pada 2024 untuk menambah baik pendidikan dan latihan bidang kejururawatan.
Ini sedang Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan mereka untuk mewujudkan peluang bagi jururawat mempertingkat kemahiran dan meneruskan pembelajaran sepanjang kerjaya mereka.
Kementerian juga sedang berusaha meningkatkan saiz kohort di sekolah kejururawatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa majlis Anugerah Merit Jururawat 2024 pada 12 Julai, lapor akhbar, The Straits Times.
“Ia bukan satu lompatan besar, tetapi ia harus menjadi tambahan yang membantu memenuhi hasrat pelajar kita yang ingin menjadi jururawat... ia akan terus menjadi kursus pengajian yang menarik dan berdaya saing,” katanya.
Universiti Nasional Singapura (NUS) akan melancarkan dua program possiswazah baru pada Ogos.
Sijil siswazah dalam Kesihatan Bersepadu dan Kejururawatan Penjagaan Kritikal adalah program belajar sambil bekerja. Sijil itu memberi peluang kepada jururawat untuk mengembangkan kecekapan profesional mereka melalui latihan di tempat kerja, sambil memajukan pembangunan profesional mereka secara serentak.
Untuk memupuk tenaga kerja kejururawatan yang sedia amali, Institut Teknologi Singapura (SIT) memulakan satu program bersepadu lima tahun yang baru, Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan-Sarjana Sains dalam Kejururawatan, pada September.
Lulusan daripada program sarjana muda tiga tahun itu boleh bekerja sebagai jururawat berdaftar.
Mereka juga boleh memilih untuk mengikuti program sarjana pengajian sambil bekerja selama dua tahun untuk latihan lanjut dalam salah satu daripada empat pengkhususan: perubatan atau pembedahan; penjagaan akuiti tinggi, iaitu penjagaan jangka pendek yang diberikan kepada pesakit yang memerlukan pengawasan khas semasa menjalani pemulihan daripada penyakit atau kecederaan yang serius; penjagaan pertengahan; dan penjagaan jangka panjang.
Pada Oktober, satu program diploma pengajian sambil bekerja selama tiga tahun dalam bidang kejururawatan akan bermula di ITE, memberi peluang kepada jururawat berdaftar yang bekerja untuk mendapatkan diploma yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan menjalankan tugas kejururawatan yang lebih kompleks sebagai jururawat berdaftar.
ITE telah pun menggantikan program Pensijilan Nitec dalam Kejururawatan selama dua tahun dengan Higher Nitec selama tiga tahun, yang meningkatkan keupayaan dan pengetahuan jururawat berdaftar untuk menjalankan skop amalan yang diperluaskan.
Encik Ong memberitahu karyawan penjagaan kesihatan pada majlis itu, usah mempercayai dakwaan bahawa tiada siapa yang mahu menyertai kejururawatan.
Beliau berkata kira-kira satu daripada 25 pelajar akan akhirnya memasuki bidang kejururawatan, dan setiap tahun semasa musim permohonan, beliau dan Anggota Parlimen lain mendapat banyak rayuan daripada warga Singapura yang ingin menceburi bidang kejururawatan tetapi tidak dapat.
Kira-kira 150 jururawat daripada pelbagai pusat penjagaan yang dirangkumi sektor penjagaan masyarakat telah diberikan Anugerah Merit Jururawat (NMA) oleh Encik Ong.
“
“Ia bukan satu lompatan besar, tetapi ia harus menjadi tambahan yang membantu memenuhi hasrat pelajar kita yang ingin menjadi jururawat... ia akan terus menjadi kursus pengajian yang menarik dan berdaya saing.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg