
Pelaksanaan rejim latihan profesional baru untuk peguam yang telah diterima secara prinsip oleh Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada 2018 akan ditangguhkan dan akan hanya bermula pada 2024.
Menurut kenyataan MinLaw pada Isnin, pihaknya telah mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan maklum balas daripada sektor guaman yang memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan saranan tersebut.
Sebelum ini, Jawatankuasa Latihan Profesional Peguam (CPTL) telah mengemukakan beberapa saranan, termasuk mengasingkan proses kemasukan peguam baru ke dalam Badan Peguam (Bar) daripada kelulusan berkhidmat sebagai peguam.
Jawatankuasa itu juga telah menyaran untuk memanjangkan tempoh latihan amalan daripada enam bulan kepada satu tahun, dan untuk meningkatkan piawaian dan ketegasan Bahagian B Peperiksaan Peguam Singapura.
Dengan penangguhan ini, individu yang layak, yang menduduki ujian Badan Peguam Bahagian B sebelum sesi 2024 tidak akan terjejas.
Buat masa ini, peguam baru perlu melengkapkan kontrak latihan selama 6 bulan sebelum mereka boleh diterima masuk ke Badan Peguam dan mendapatkan sijil amalan.
Namun mulai 2024, individu yang layak dan yang telah menduduki ujian tersebut hanya akan dimasukkan ke Badan Peguam selepas mereka lulus Bahagian B.
Jika mereka ingin berkhidmat sebagai peguam, mereka akan dikehendaki menjalani kontrak latihan selama 12 bulan sebelum mereka boleh mendapatkan sijil amalan.
CPTL telah ditubuhkan oleh Hakim Besar, Encik Sundaresh Menon pada 2016 untuk menjalankan kajian menyeluruh bagi rejim latihan profesional.
Jawatankuasa itu juga ditubuhkan untuk memberikan saranan bagaimana rejim latihan profesional boleh diubah suai untuk meningkatkan kualiti dan konsistensi piawaian latihan ke seluruh pengamalan undang-undang.
MinLaw juga berkata pelaksanaan saranan itu dapat mempertingkatkan kualiti latihan guaman dan melengkapkan graduan guaman dengan kepakaran yang diperlukan, untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan dan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg