Topik diikuti
Pergi ke BHkuLatihan Wallaby di Australia beri ruang bagi SAF, RSAF, uji keupayaan baharu
Latihan Wallaby di Australia beri ruang bagi SAF, RSAF, uji keupayaan baharu
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menguji teknologi medan perang baharu dan memperhalusi cara askarnya beroperasi menerusi latihan luar negara unilateral terbesarnya, sedang ia menyesuaikan diri dengan tuntutan peperangan moden yang berubah-ubah.
Dalam Latihan Wallaby (XWB) 2026, SAF sedang menilai keupayaan seperti sistem tanpa pemandu, komunikasi medan perang dan teknologi menentang dron bagi meneliti bagaimana keupayaan tersebut boleh disepadukan dalam operasi.
Latihan tahunan luar negara ini, yang berlangsung di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Australia, menandakan edisi ke-36 dan berlangsung dari 6 September hingga 2 November.
Semasa sesi bertemu media di Kem Tilpal, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Australia, pada 22 Oktober, Pengarah Latihan bagi Rangka Ketiga XWB, Kolonel Joshua Goh, berkata latihan itu memberi ruang kepada SAF untuk menguji dan mengesahkan konsep baharu sedang ia menyesuaikan diri dengan ancaman serta tuntutan operasi yang kian berubah.
Sekitar 4,000 kilometer (km) dari Singapura, kira-kira 6,000 anggota dan 1,200 aset daripada Tentera Singapura, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) menyertai XWB 2026.
“Sedang corak peperangan moden terus berkembang, SAF perlu sentiasa berada di hadapan dan menyesuaikan doktrin, keupayaan serta konsep tempurnya. Keupayaan untuk menyesuaikan diri ini penting bagi membolehkan kita terus mengimbangi ancaman yang berubah-ubah dan tuntutan operasi baharu.
“Untuk terus menyesuaikan diri, kita perlu meneroka ruang baharu dan mencipta kejayaan baharu, yang semuanya memerlukan ruang. Latihan Wallaby menyediakan ruang tersebut,” kongsi beliau, yang juga Komander Briged bagi Briged Infantri Ketiga Singapura (3SIB).
Antara keupayaan yang diuji adalah teknologi seperti ialah Nod Komunikasi Kawasan (ACN) berasaskan 5G, yang bertujuan meluaskan liputan komunikasi medan perang, dan (Sistem Pesawat Tanpa Pemandu-Lawan (C-UAS), yang menyatukan pelbagai sensor dan sistem bagi membantu mengesan, menjejaki dan menangani ancaman dron.
Ini di samping keupayaan lain seperti Batalion Infantri Generasi Seterusnya (NGIB).
Menurut Mindef dalam satu kenyataan, usaha menguji dan memperhalusi teknologi baharu itu melibatkan kerjasama antara SAF dengan Komuniti Teknologi Pertahanan (DTC), yang merangkumi Direktorat Sistem dan Teknologi Masa Hadapan (FSTD), Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) serta Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO).
Mengulas lebih lanjut mengenai C-UAS, Pengarah (Pembangunan Teknologi), Pembangunan Komand, Kawalan dan Perhubungan, Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Cik Ho Cheeng Tse, berkata ujian yang dijalankan tahun ini mendapati terdapat senario tertentu yang menyukarkan sistem itu mengesan ancaman dengan cukup pantas dan konsisten.
“Kadang-kadang, pengesanan terbukti sukar untuk dilakukan secara konsisten bagi anggota tentera kerana faktor rupa bumi dan faktor-faktor lain yang perlu kami hadapi.
“Jadi, ini sebenarnya adalah maklum balas yang kami kumpulkan untuk mencari huraian yang lebih baik di luar sana bagi digabungkan dengan set C-UAS sedia ada kami untuk menjadikannya lebih teguh bagi pelbagai jenis senario operasi,” jelas beliau.
Pengarah Udara bagi Rangka Ketiga XWB, Leftenan Kolonel (LTC) Ng Kehang, berkata kawasan latihan yang luas di Australia membolehkan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menjalankan latihan helikopter secara menyeluruh, daripada persiapan awal hingga pelaksanaan misi dan kepulangan ke pangkalan.
“Dengan ruang darat dan ruang udara yang lebih luas ini, RSAF dapat menjalankan latihan helikopter secara menyeluruh, daripada menghidupkan enjin helikopter, melaksanakan senario misi di medan operasi hinggalah kembali ke pangkalan.
“Latihan menyeluruh seperti ini tidak dapat dijalankan di Singapura, di mana kami hanya dapat melaksanakan sebahagian daripada latihan dalam kawasan latihan yang tersedia.
“Ruang darat yang luas ini juga menyediakan kawasan manuver yang lebih besar bagi Tentera Darat. Ini memudahkan latihan bersepadu udara-darat yang diperlukan untuk mempertajam keupayaan tempur kami,” ujar beliau.
Mengulas lebih lanjut, Kolonel Goh berkata dalam peperangan konvensional sekalipun, setiap pihak sentiasa berusaha mendapatkan kelebihan berbanding musuh dengan mengatasi mereka dari segi pemikiran, pengamatan dan daya tahan.
“Penggunaan pelbagai kaedah, seperti sistem tanpa pemandu, dapat membantu melindungi anggota sendiri sambil memberikan kelebihan untuk mengesan ancaman dari jarak yang lebih jauh.
“Kami melihat perkembangan dalam aspek ini dan amat berminat untuk menguji keupayaan sedemikian dalam Latihan Wallaby,” tambah beliau.