Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawat S'pura percuma bagi pelancong transit

Program yang sebelum ini dihenti dek pandemik disambung semula dengan lawatan berpandu 4 kali sehari
Apr 5, 2023 | 5:30 AM
LAWATAN PERCUMA: Lawatan ini diuruskan sebuah syarikat setempat Monster Day Tours, dan boleh ditempah menerusi laman Lapangan Terbang Changi. - Foto ST
LAWATAN PERCUMA: Lawatan ini diuruskan sebuah syarikat setempat Monster Day Tours, dan boleh ditempah menerusi laman Lapangan Terbang Changi. - Foto ST -

SELEPAS tiga tahun menyepi akibat pandemik, Lawatan Singapura Secara Percuma bagi pengunjung yang singgah sebentar disambung semula pada Isnin, meliputi lawatan berpandu empat kali sehari dan kurang tiga jam setiap kali.

Buat pertama kalinya, lawatan ke ruang-ruang serta kediaman masyarakat setempat akan menjadi sebahagian daripada pilihan jadual bagi pelawat transit dan yang berpindah pesawat yang berada di sini untuk tempoh lima jam setengah sehingga 24 jam.

Tambahan terbaru adalah Lawatan Daerah Changi selama dua setengah jam, yang juga termasuk perhentian di bandar baru Tampines untuk melihat perumahan setempat dan Taman Tampines Central untuk mengenali taman permainan yang direka secara unik.

Perhentian lain termasuk hab masyarakat dan gaya hidup bersepadu pertama Singapura, Our Tampines Hub (OTH); gereja kecil dan muzium Changi; Changi Village; dan Taman Pantai Changi.

Tiga lawatan yang sebelum ini diadakan - Lawatan Pemandangan Bandar, Lawatan Warisan dan Lawatan Jewel - akan mempunyai tarikan baru.

Lawatan Pemandangan Bandar kini termasuk juga perhentian di Daerah Sivik bagi lawatan ke Galeri Nasional Singapura, Jambatan Anderson dan Padang.

Laluan bas itu akan turut membawa pelawat ke Daerah Kewangan Marina Bay dalam perjalanan ke Gardens by the Bay.

Lawatan Warisan yang akan bermula pada Jun, akan berhenti di destinasi berbilang budaya seperti Chinatown, Arab Street dan Haji Lane.

Mengenai Lawatan Jewel, pelawat akan mengunjungi tarikan popular di Lapangan Terbang Changi seperti Shiseido Forest Valley dan HSBC Rain Vortex, selain mencuba kudapan dan mempelajari tentang warisan makanan Singapura menerusi jenama setempat seperti Bee Cheng Hiang dan Tong Garden.

Lawatan percuma itu, yang akan diuruskan syarikat setempat Monster Day Tours, boleh ditempah di laman Lapangan Terbang Changi.

Lawatan bas itu - Kawasan Changi, Pemandangan Bandar dan Warisan - boleh membawa sehingga 40 pelawat bagi setiap sesi, sementara Lawatan Jewel, yang merupakan lawatan berjalan kaki, menerima sehingga 25 orang bagi satu pusingan.

Terdapat rancangan meningkatkan kekerapan secara progresif kepada sembilan lawatan sehari, daripada tiga bermula Isnin, kata Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), Singapore Airlines dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan bersama.

Penumpang transit dan yang berpindah pesawat membentuk sekitar 30 peratus trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi sebelum pandemik Covid-19 melanda, kata mereka.

Lebih 800,000 penumpang mengikuti sama lawatan percuma pada 2019, dengan pelancong dari India dan Australia membentuk lebih daripada sepertiga keseluruhan peserta.

"Lawatan Singapura Percuma amat popular dalam kalangan penumpang transit dan yang berpindah pesawat sebelum pandemik, dan kami gembira dapat kembalikannya apabila perjalanan udara dibenarkan," kata naib presiden eksekutif hab udara dan pembangunan kargo di CAG, Encik Lim Ching Kiat.

Beliau menambah lawatan itu direka untuk memberi peluang pelancong menjenguk sejenak apa yang ditawarkan Singapura.

Penolong ketua eksekutif kumpulan pemasaran di STB, Encik Chang Chee Pey, berkata:

"Adalah imperatif untuk kami menyegarkan tawaran pelancongan kami dalam memenuhi permintaan bagi pelancongan sejahtera dan mesra eko serta memenuhi keperluan pelancong yang inginkan pengalaman yang lebih mendalam.

"Kami harap lawatan ini akan memberi inspirasi kepada penumpang transit dan yang berpindah pesawat untuk merancang lawatan yang lebih lama ke Singapura pada masa akan datang, dan meneroka lebih banyak lagi apa yang ditawarkan bandar kami yang penuh bertenaga ini."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg