KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan lebih melonggarkan langkah membenarkan kunjungan pelawat ke hospital dan rumah jagaan penginapan mulai 26 April.

Ini termasuk usaha mengizinkan kunjungan pelawat buat semua individu, baik pesakit, penghuni dan pengunjung tanpa mengira status vaksinasi.

Demikian dijelaskan dalam satu kenyataan MOH pada lewat malam Isnin (24 April),

Awal sebelum ini, MOH mengumumkan kunjungan individu disambung buat hospital dan rumah jagaan mulai 4 April 2022 bagi individu yang lengkap divaksin dan mereka yang disahkan tidak sesuai secara perubatan untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Menurut MOH, dengan pelonggaran lanjutan langkah kemasyarakatan yang berkuatkuasa mulai 26 April, penyesuaian akan dibuat pada langkah pengurusan selamat (SMM) bagi lawatan individu ke hospital dan rumah penjagaan ini.

Kata MOH:

"Sedang hospital dan rumah jagaan adalah kemudahan dengan individu yang lemah dan terdedah pada jangkitan dengan keperluan untuk melindungi mereka daripada jangkitan, hospital dan rumah jagaan mungkin perlu teruskan usaha mengenakan beberapa SMM seperti prapendaftaran pengunjung buat pesakit di hospital dan membenarkan hanya dua pengunjung di sisi katil mereka bagi sesuatu masa untuk mengelakkan kesesakan di wad dan rumah jagaan itu.

"Sebagai sebahagian tanggungjawab sosial, semua pengunjung digalakkan menguji diri mereka bagi Covid-19 sebelum mengunjungi orang tersayang di hospital atau rumah jagaan itu.

"Orang ramai tidak harus melawat orang tersayang jika mereka tidak sihat. Kesemua pengunjung yang memasuki wad hospital atau rumah jagaan harus menggunakan pelitup dengan keupayaan penapisan yang baik setiap masa. Ini termasuk menggunakan dua lapik fabrik," pesan MOH.

Orang ramai juga diingatkan untuk tidak makan atau minum di wad hospital atau kawasan perkarangan kediaman rumah jagaan atau menggunakan tandas yang dikhususkan untuk pesakit hospital atau penghuni rumah jagaan. Mereka juga harus mengelakkan daripada duduk di katil pesakit dan penghuni.

Mereka juga harus patuh dengan masa berkunjung hospital dan tidak mengganggu pesakit lain yang sedang berehat.

Kunjungan ke rumah jagaan dihadkan pada sejam bagi membolehkan semua keluarga diberi peluang mengunjungi orang tersayang.

MOH menambah, pengunjung juga harus terus merancang jadual lawatan ke rumah jagaan ini lebih awal.

"Kami juga meminta pemahaman pengunjung untuk akur bahawa lawatan mereka mungkin dibatalkan jika rumah jagaan berkenaan sedang mengurus kes Covid-19 yang aktif.

"Waris penghuni boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada rumah jagaan ini," tambah MOH.

Menurutnya lagi, hospital tempatan juga sedang mengendalikan bebanan tugas bukan Covid-19 yang berlebihan daripada biasa.

"Kami memohon kerjasama berterusan orang awam agar patuh pada langkah ini dan kekal bertanggungjawab secara sosial untuk memastikan pesakit dan penghuni selamat meskipun kita menuju ke arah kehidupan seperti biasa," jelas MOH.