LAWATAN secara fizikal ke semua wad hospital dan rumah jagaan akan terus digantung sehingga 3 April 2022.

Awal sebelum ini Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan lawatan secara fizikal ke hospital dan rumah jagaan tidak dibenarkan sehingga 20 Mac 2022.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat (18 Mac), MOH berkata, kemas kini tarikh penggantungan lawatan secara fizikal itu dilakukan kerana pekerja penjagaan kesihatan masih di bawah tekanan yang amat besar walaupun jumlah kes Covid-19 berkurangan secara perlahan.

"Oleh itu, untuk meringankan beban ke atas kakitangan hospital dan rumah jagaan kami yang sedang menjaga pesakit Covid-19 positif, lawatan secara fizikal ke wad hospital dan rumah jagaan akan terus digantung sehingga 3 April 2022," kata MOH.

Pun begitu, hospital dan rumah jagaan mempunyai budi bicara untuk membenarkan lawatan bagi kes luar biasa, misalnya jika pesakit berada dalam keadaan kritikal atau bagi ibu yang hendak melahirkan.

Namun, lawatan sedemikian masih tertakluk kepada langkah pengurusan pelawat sedia ada.