Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan rasmi Sabri pererat hubungan M'sia-S'pura

Nov 30, 2021 | 5:30 AM
PERIKSA BARISAN KEHORMAT: Datuk Ismail Sabri, diiringi, Encik Lee memeriksa pasukan barisan kehormat di perkarangan Istana semalam.- Foto-foto BH oleh KEVIN LIM
PERIKSA BARISAN KEHORMAT: Datuk Ismail Sabri, diiringi, Encik Lee memeriksa pasukan barisan kehormat di perkarangan Istana semalam.- Foto-foto BH oleh KEVIN LIM -

PERTEMUAN bermula di Pusat Pemeriksaan Woodlands apabila Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pagi semalam.

Mereka berdua bergambar di depan satu bas khas Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL)(Darat) Singapura-Malaysia sambil menyaksikan pelancaran skim itu di Koswe.

Dua pemimpin itu kelihatan gembira dapat bertemu dengan ini merupakan lawatan rasmi Datuk Ismail Sabri yang pertama ke Singapura sebagai perdana menteri selepas memegang jawatan itu pada Ogos lalu.

Selepas menghadiri pelancaran tersebut, Datuk Ismail Sabri kemudian dibawa ke Istana untuk menghadiri majlis sambutan termasuk acara memeriksa barisan kehormat di perkarangan Istana.

Beliau kemudian juga menghadiri majlis menamakan sejenis anggerik hibrid sempena namanya di Istana.

Selepas itu, Datuk Ismail Sabri bertemu pula dengan Presiden Halimah Yacob.

Dalam catatan Facebooknya semalam, Puan Halimah melahirkan rasa gembira bertemu Datuk Ismail Sabri.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Ismail Sabri atas pelantikannya baru-baru ini pada Ogos 2021 dan berharap beliau akan berkhidmat dengan baik semasa pemerintahannya.

"Kami mengesahkan semula hubungan amat mendalam Singapura dan Malaysia yang sudah terjalin oleh kerjasama erat selama beberapa dekad.

"Kami juga membincangkan beberapa bidang berpotensi untuk meneruskan kerjasama negara kita," tulis Puan Halimah.

Semalam, Encik Lee turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Ismail Sabri dan membincangkan pelbagai isu dan bidang kerjasama.

Mereka berdua kemudian mengadakan sidang akhbar dan mengumumkan beberapa kerjasama antaranya isu peluasan VTL, Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, Covid-19, dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Encik Lee kemudian menjamu Datuk Ismail Sabri dalam satu acara makan tengah hari.

Dalam acara tersebut, Encik Lee melahirkan rasa gembira dan berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada Datuk Ismail Sabri dan pasukannya di Istana.

"Saya mengalu-alukan peluang ini untuk mengukuhkan lagi persahabatan yang erat dan kerjasama antara dua negara kita.

"Kami mengadakan pertemuan yang baik sejurus sebelum makan tengah hari antara perdana menteri (Malaysia) dengan saya.

"Kami membincangkan bagaimana negara kita boleh melakukan lebih banyak lagi secara bersama untuk muncul lebih kuat daripada wabak itu," ujar Encik Lee.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam kunjungan semalam, Datuk Ismail Sabri diiringi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, selain pegawai lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg