MENTERI Kewangan Encik Lawrence Wong akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri mulai 13 Jun, dalam satu langkah yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pengganti Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong.

Pengumuman itu dibuat dua bulan selepas Encik Wong, 49 tahun, disahkan oleh rakan sebayanya sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Beliau akan menjadi pemangku Perdana Menteri tanpa kehadiran PM Lee.

Beliau juga akan meneruskan sebagai Menteri Kewangan, serta memikul tanggungjawab memantau Kumpulan Strategi di bawah Pejabat Perdana Menteri dan mengambil alih peranan itu daripada Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat.

DPM Heng, 61 tahun, akan kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau juga akan teruskan sebagai Menteri Penyelarasan bagi Dasar Ekonomi dan menyelia Majlis Ekonomi Masa Depan serta Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) dan Lembaga Pentadbiran Dana Produktiviti.

Perubahan Kabinet, diumumkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada Isnin (6 Jun), menggerakkan proses peralihan kepimpinan Singapura selepas ia terjejas apabila Encik Heng meletak jawatan sebagai ketua pasukan 4G pada April tahun lalu.

Kabinet secara tradisinya mempunyai dua timbalan perdana menteri sejak 1980-an, dengan pengecualian tempoh singkat pada 1990-an apabila PM Lee merupakan satu-satunya DPM ketika itu dan sejak Mei 2019, apabila DPM Heng memegang jawatan itu.

Rombakan terbaru itu berlaku setahun selepas tujuh menteri 4G diberi peranan baru dalam rombakan besar-besaran pada Mei 2021.

Ketika itu, Encik Wong telah diberikan portfolio kewangan utama.

Pada April tahun ini, PM Lee mengumumkan bahawa Encik Wong telah dipilih sebagai ketua pasukan 4G oleh rakan sebayanya dan menteri Kabinet telah mengesahkan pilihan itu.

Keputusan itu kemudiannya disahkan oleh semua Ahli Parlimen (AP) PAP dalam kaukus parti.

Sebelum menyertai politik, Encik Wong menghabiskan 14 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Menceburi politik pada 2011, Encik Wong merupakan sebahagian pasukan PAP lima anggota yang bertanding di GRC West Coast di mana mereka memenangi sekitar 67 peratus undi.

Beliau menjadi Menteri Negara bagi Pertahanan dan Pendidikan pada tahun itu. Beliau adalah Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia pada 2012, dan dinaikkan pangkat sebagai Menteri penuh pada 2014.

Beliau menjadi Menteri Pembangunan Negara pada 2015, mengambil peranan tambahan sebagai Menteri Kedua bagi Kewangan pada 2016, dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan selepas Pilihan Raya 2020. Beliau menjadi Menteri Kewangan pada Mei tahun lalu.