LARANGAN atas perniagaan dari rumah supaya tidak beroperasi sewaktu tempoh pemutus litar ini mungkin dilonggarkan sekiranya jumlah kes jangkitan koronavirus berkaitan penularan antara masyarakat setempat merosot, kata Menteri Pembangunan Negara Encik Lawrence Wong.
Berucap sewaktu sidang media Pasukan Bertindak pelbagai kementerian pada Isnin (27 April), beliau berkata bahawa peraturan semasa tidak membenarkan perniagaan makanan dan minuman dari rumah namun sekiranya dan juga apabila perangkaan kes jangkitan masyarakat terus merosot, seperti yang dikatakan, pasukan itu akan menyemak semula perangkaan itu, lapor The Straits Times (ST).
"Jika perangkaan itu dapat diturunkan, kami mungkin sebaiknya akan melonggarkan beberapa larangan itu dan pada masa yang sama, kami akan memberitahu warga Singapura masanya bagi kegiatan seperti itu atau kegiatan lain yang kami jangka boleh dimulakan semula," kata Encik Wong.
Menurut laman Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), perniagaan makanan dan minuman dari rumah tidak dibenarkan untuk beroperasi sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan yang turut diterapkan langkah jarak selamat yang diperluas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg