Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 warga S’pura di Amerika dalam senarai dihantar pulang

Mereka sebahagian 1.4 juta warga asing yang dikeluarkan perintah agar dihantar pulang
Feb 5, 2025 | 1:55 PM
Lebih 1.4 juta warga asing telah dikeluarkan perintah penghantaran pulang dan berada dalam senarai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika (ICE), bagi individu tidak diberkas.
Lebih 1.4 juta warga asing telah dikeluarkan perintah penghantaran pulang dan berada dalam senarai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika (ICE), bagi individu tidak diberkas. - Foto REUTERS

Lebih 100 warga Singapura telah dikenal pasti dalam senarai untuk dihantar pulang oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat sejak November 2024.

Keseluruhan 111 rakyat Singapura ini merupakan sebahagian daripada lebih 1.4 juta warga asing yang telah dikeluarkan perintah penghantaran pulang dan kini berada dalam senarai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika (ICE), bagi individu tidak diberkas.

Individu sebegini tidak ditahan oleh ICE, namun tetap boleh ditahan oleh agensi lain kerana melanggar undang-undang, lapor The Straits Times (ST).

Senarai ICE melibatkan sekitar tujuh juta individu – termasuk warga asing yang datang ke Amerika untuk memohon suaka dan sedang menunggu prosiding imigresen.

Mereka turut terdiri daripada penduduk tetap Amerika yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah atau berada di bawah program yang dipanggil Alternatif kepada Tahanan.

Individu di bawah program ini bebas bergerak namun diwajibkan melaporkan diri secara berkala kepada pihak berkuasa atau memakai alat pengawasan gerak geri, antara lain.

Daripada tujuh juta individu, hanya sekitar satu perlima telah menerima ‘perintah pemindahan terakhir’, yang bermakna mereka akan dihantar pulang dalam tempoh 90 hari selepas menerima perintah tersebut, menurut angka yang dikeluarkan ICE pada November 2024.

Namun, terdapat beberapa pengecualian. 

Individu yang telah diberi ‘pelepasan daripada pemindahan’ masih dibenarkan kekal di Amerika, walaupun mereka telah menerima perintah penghantaran pulang oleh ICE.

Pengecualian sebegini diberikan kepada pemohon suaka atau individu yang menghadapi ancaman penindasan atau penganiayaan jika mereka dihantar pulang.

Kekurangan kerjasama daripada pemerintah luar juga boleh menghambat proses penghantaran pulang.

ICE telah mengenal pasti 14 negara yang tidak memberi kerjasama, antaranya Cuba, Russia, China, dan India, manakala 11 negara lain, termasuk Jamaica, Iraq, Kemboja, dan Vietnam, berisiko tidak mematuhi peraturan itu.

Dari 1 Oktober 2023 hingga 30 September 2024, atau tahun fiskal 2024, tiga rakyat Singapura telah dihantar pulang dari Amerika, menurut laporan tahunan ICE yang diterbitkan pada 19 Disember.

Secara keseluruhan, seramai 22 warga Singapura telah dihantar pulang antara tahun fiskal 2019 hingga 2024.

ST telah menghubungi ICE untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah mengambil tindakan meluas untuk menghantar pulang pendatang, setelah berikrar akan melakukan sedemikian semasa kempennya.

Sejak beberapa hari lalu, Amerika menghantar keluar pendatang ke negara-negara di Amerika Selatan, serta satu penerbangan ke India – destinasi paling jauh bagi penerbangan tentera pentadbiran Encik Trump untuk pendatang setakat ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg