LEBIH 1,000 orang telah mendaftar dan menempah tempat untuk mendapatkan vaksin Covid19 yang dihasilkan Novavax, sehingga semalam.

Tempahan bagi Nuvaxovid - yang merupakan vaksin bukan-mRNA pertama yang disarankan sebagai dos penggalak oleh Jawatankuasa Pakar mengenai vaksin Covid-19 - dibuka kepada penduduk berusia 18 tahun ke atas sejak 13 Mei lalu.

Pentadbiran bagi vaksin Novavax di mana-mana Klinik Kesediaan Kesihatan Awam pula bermula 18 Mei.

Ia juga terdapat di JTVC Bishan, yang merupakan salah satu daripada lima pusat ujian dan vaksinasi bersama yang baru, dan dibuka sejak semalam.

Tiada bayaran dikenakan bagi vaksinasi tersebut.

Rejim vaksinasi terdiri daripada dua dos 5mcg Nuvaxovid, yang akan diberikan berasingan selang tiga minggu.

Jawatankuasa pakar berkata Nuvaxovid merupakan alternatif yang diterima kepada vaksin mRNA untuk suntikan penggalak bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Satu dos disarankan sebagai dos penggalak sekitar lima bulan selepas dos terakhir siri vaksinasi utama.

Vaksin Novavax merupakan vaksin berasaskan protein, atau unit kecil protein.

Ia bukan vaksin mRNA.

Vaksin mRNA menggunakan bahan daripada virus untuk mengajar sel-sel tubuh membuat 'salinan' protein yang unik kepada virus tersebut, dan dengan cara ini, membina daya tahan terhadap virus.

Namun vaksin yang berasaskan protein mengandungi juga bahagian virus tersebut, dan bukan keseluruhan kuman itu.

Apabila seseorang disuntik dengan vaksin tersebut, tubuh sedar bahawa protein sepatutnya tidak berada di situ dan menghasilkan antibodi untuk menentangnya.

Vaksin berasaskan protein dianggap pendekatan konvensional kepada vaksin, dan vaksin yang sudah lama dihasilkan untuk menentang batuk dan kayap ular menggunakan pendekatan sedemikian.