Lebih 1,100 e-rokok atau vape ditemui dalam sebuah kereta berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada sekitar 9 malam, 17 September.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah mengarahkan kenderaan itu untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan menemui 1,169 vape yang disembunyikan di tempat duduk belakang kereta yang telah diubahsuai, kata ICA dalam satu hantaran Facebook pada 19 September.
Kes itu telah dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
“Keselamatan sempadan adalah aspek penting dalam strategi penguatkuasaan terhadap vape.
“ICA kekal komited untuk melindungi Singapura dengan memastikan sempadan kita selamat dan terjamin,” kata ICA dalam hantaran Facebook itu.
Kejadian ini berlaku susulan rampasan terbesar alat vape yang diseludup di pusat pemeriksaan darat Singapura sejak hukuman lebih berat terhadap vape berkuat kuasa pada 1 September.
Pada 15 September, lebih 18,400 vape dan 1,400 komponen berkaitan ditemui dalam sebuah lori di Pusat Pemeriksaan Tuas, lapor The Straits Times (ST).
Lori berdaftar Malaysia itu dikenal pasti melalui penilaian risiko prakedatangan oleh Pusat Sasaran Bersepadu (ITC) ICA, dan diarahkan untuk pemeriksaan lanjut.
ITC menggunakan analisis data untuk memeriksa pelawat, pengangkutan dan kargo sebelum tiba di Singapura.
Mereka yang dianggap berisiko tinggi akan disaring untuk pemeriksaan setibanya di negara ini.
Seorang lelaki warga Malaysia telah ditangkap berkaitan dengan kes itu, tambah ICA.
Singapura kini mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani isu pengambilan vape, yang kini dianggap sebagai isu dadah, dengan hukuman lebih berat dikenakan.
Mulai 1 September, individu yang ditangkap memiliki, menggunakan atau membeli vape akan berdepan hukuman lebih berat.
Pengguna vape yang dicampur dengan dadah sintetik seperti etomidate atau ketamin – juga dikenali sebagai Kpod – mungkin perlu menjalani program pemulihan dan pengawasan wajib.
Etomidate, yang sebelum ini disenaraikan di bawah Akta Racun, kini disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sejak 1 September.
Penjual Kpod berdepan hukuman lebih berat di bawah akta ini.
Mereka yang ingin berhenti mengambil vape boleh mendapatkan bantuan melalui QuitLine Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) di 1800-438-2000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg