Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 12,000 warga emas buat janji temu dapat suntikan penggalak, dos ketiga
Lebih 12,000 warga emas buat janji temu dapat suntikan penggalak, dos ketiga
LEBIH 12,000 daripada 140,000 warga emas yang dijangka mendapatkan suntikan penggalak atau booster bagi mengekang Covid-19 telah membuat janji temu selepas hari pertama program tersebut, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Singapura telah memulakan program untuk memberikan suntikan penggalak kepada warga emas dengan lebih 3,200 warga emas menerimanya pada hari pertama program itu.
Dalam kirimannya di Facebook, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata:
"Ini merupakan permulaan yang menggalakkan dan kami berharap lebih ramai warga emas boleh mendapatkan suntikan booster mereka.
"Suntikan ini boleh melindungi anda pada bulan-bulan akan datang atau lebih lama lagi selepas itu."
Dalam tempoh beberapa hari selepas ini, seramai 140,000 warga emas akan menerima undangan untuk mendapatkan suntikan penggalak dari MOH untuk membuat janji temu bagi mendapatkan dos booster Pfizer-BioNTech atau Moderna.
Warga emas juga boleh menerima dos ketiga mereka di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar dan pusat vaksinasi, poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam yang mengambil bahagian.
Mantan ketua eksekutif NTUC Tan Kin Lian merupakan antara yang pertama di Kelab Masyarakat Teck Ghee, di mana terletaknya pusat vaksinasi yang dikendalikan Raffles Medical Group.
Menjelang tengah hari kelmarin, lebih 100 warga emas telah menerima suntikan mereka.
"Saya memang menyokong vaksinasi.
Sekiranya anda tidak divaksin, anda mungkin lima hingga lapan kali lebih terdedah kepada penyakit serius," kata Encik Tan, yang mendapatkan suntikan selepas menjalani senaman paginya.
"Lebih ramai yang semakin takut dengan jumlah kes yang kian meningkat," kata Encik Tan yang berusia 73 tahun dan telah menerima vaksin Pfizer-BioNTech.
Sementara itu, bagi Encik Ronnie Lee, 79 tahun, yang juga telah mengambil suntikan penggalak pagi kelmarin kerana prihatin tentang kes Covid-19 yang meningkat dalam masyarakat.
"Saya baca di akhbar bahawa warga emas yang tidak divaksin akan menghadapi lebih banyak masalah. Jadi vaksin ini memang untuk kebaikan anda sendiri," katanya.
Encik Lee telah mengalami rasa sengal di tangannya selepas suntikan pertama, dan menambah bahawa beliau akan mendapatkan suntikan penggalak pada masa depan.