Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih $1.2j dadah dirampas CNB; 102 suspek ditangkap dalam operasi lima hari
Lebih $1.2j dadah dirampas CNB; 102 suspek ditangkap dalam operasi lima hari
Lebih $1.2j dadah dirampas CNB; 102 suspek ditangkap dalam operasi lima hari
BIRO Narkotik Pusat (CNB) telah menangkap seramai 102 suspek dadah dalam satu operasi dadah serata Singapura. Ia juga berjaya merampas sejumlah dadah yang ditaksirkan bernilai $1,195,000 di pasaran sepanjang operasi selama lima hari bermula 9 Mei lalu.
Hasil rampasan keseluruhan operasi itu yang berakhir hari ini (13 Mei) merangkumi pelbagai jenis dadah; termasuk lebih 6 kilogram heroin; sekitar 700 gram 'Ice'; 20.4 kg ganja; 3 gram Bahan Psikoaktif Baru (NPS); satu pil Ecstasy; dua botol yang disyaki mengandungi gamma-hydroxybutyrate (GHB) dan 16 tablet metadon.
Dalam kenyataan semalam, CNB berkata, jumlah dadah yang dirampas cukup untuk digunakan 2,910 penyalahguna ganja dan 2,960 penagih heroin dan 410 pengguna 'Ice' selama seminggu.
Operasi itu antara lain melibatkan kawasan Ang Mo Kio, Bukit Batok dan Yio Chu Kang.
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun adalah antara 102 suspek dadah yang telah ditangkap.
Menurut CNB, hasil operasi serbuan itu adalah yang terbesar setakat tahun ini.
Salah satu operasi itu yang berlaku pada 11 Mei telah menahan tiga lelaki setelah merampas dadah ganja dan heroin dengan sekitar nilai jalanan $1,039,000 di dua lokasi-Bendemeer Road dan estet perumahan Braddell View.
Menurut CNB, ketiga-tiga lelaki itu telah didakwa hari ini (13 Mei).
Siasatan ke atas semua kegiatan dadah dan suspek masih dijalankan.
