Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih $130,000 wap elektronik, pod pengisi dirampas ICA

May 26, 2022 | 5:30 AM
Foto ICA
Foto ICA -

SEKITAR 3,200 pengewap elektronik dan lebih 17,000 pod pengisi semula, yang disembunyikan dalam tiga lori berdaftar Malaysia, yang tiba di Singapura dirampas oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands pada 9 dan 13 Mei lalu.

Anggaran nilai jalanan bagi pengewap elektronik dan pod pengisi semula itu adalah lebih $130,000, kata ICA dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan semalam.

Pada 9 Mei lalu, pegawai menggagalkan percubaan menyeludup 8,520 keping pod pengisi semula pengewap elektronik ke Singapura dalam sebuah lori.

"Pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas mengarahkan lori itu supaya menjalani pemeriksaan lanjut dan menemui pod pengisian semula pengewap elektronik di bawah katil sementara dalam kabin kenderaan itu," kata ICA.

Dalam kejadian berasingan pada 13 Mei lalu, terdapat dua percubaan menyeludup pengewap elektronik pakai buang dan pod pengisi semula dalam dua lori - satu di Pusat Pemeriksaan Tuas dan satu lagi di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Pegawai Pusat Pemeriksaan Tuas menemui beg-beg hitam yang disusun supaya kelihatan seperti katil sementara dalam kabin salah satu lori. Di dalamnya terdapat 3,200 keping pengewap elektronik pakai buang dan 6,000 pod pengisi semula.

Dalam satu lagi kes lain di Pusat Pemeriksaan Woodlands, pegawai menemui beberapa bungkusan beg sampah hitam yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan di atas kabin lori.

Sejumlah 2,700 keping pod pengisi semula ditemui.

Empat lelaki warga Malaysia, berumur antara 27 dengan 52 tahun, sedang membantu HSA dengan siasatan.

ICA dan HSA menambah, sejak bulan lalu, tujuh kes penyeludupan pengewap elektronik dan komponen berkaitan dalam lori berdaftar Malaysia telah dikesan di pusat pemeriksaan.

Dua lelaki warga Malaysia yang terlibat dalam salah satu kes telah masing-masing dijatuhkan hukuman penjara satu minggu dan didenda $1,500, manakala baki enam kes masih menunggu siasatan atau tindakan mahkamah.

HSA berkata mengimport, mengagih, menjual dan membuat tawaran untuk menjual produk tembakau berbahaya atau tiruan adalah menyalahi undang-undang.

"Ini termasuk tembakau shisha, tembakau tanpa asap, tembakau kunyah seperti Gutkha, Khaini, Zarda, pengewap elektronik dan aksesorinya," katanya.

Pesalah boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya, untuk kesalahan pertama. Dia boleh didenda hingga $20,000, dipenjara hingga 12 bulan, atau kedua-duanya, untuk kesalahan berikutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg