Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 150,000 pegawai awam bakal dilengkapi kemahiran digital, AI jelang 2028
Institut Pemerintah Digital dilancar; tawar program berstruktur, dalam talian dan secara bersemuka
Lebih 150,000 pegawai awam bakal dilengkapi kemahiran digital, AI jelang 2028
Lebih 150,000 pegawai awam bakal dilengkapi dengan kemahiran digital, pengendalian data dan kecerdasan buatan (AI) menjelang akhir 2028 menyusuli pelancaran sebuah insititut baharu.
Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, mengumumkan pelancaran Institut Pemerintah Digital (IDG) di acara AI Tech Festival yang diadakan di Kolej Perkhidmatan Awam (CSC) yang terletak di Bouna Vista pada 18 September.
Dalam ucapannya, beliau berkata pegawai awam perlu terlebih dahulu dilengkapi dengan keupayaan untuk memahami sesuatu masalah sebelum menentukan sama ada teknologi boleh membantu menyelesaikannya.
“Kita perlu fikirkan apakah masalah yang perlu diselesaikan, dan jika AI dapat membantu, bagus. Jika tidak, kita masih perlu menyelesaikan masalah itu,” kata Cik Lau, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital).
“Tetapi kesedaran sebeginilah yang perlu kita bina dalam kalangan pemimpin supaya mereka tidak mula menganggap AI itu sendiri sebagai petunjuk prestasi utama (KPI), dan seolah-olah terdapat jumlah projek tertentu yang perlu mereka atau kakitangan mereka laksanakan.
“Sebahagian besar daripada apa yang kita lakukan di IDG adalah untuk memastikan anda mempunyai alat yang diperlukan, anda tahu bagaimana alat itu boleh digunakan, dan kemudian anda membuat pertimbangan sama ada ia berguna untuk anda atau tidak.”
Institut baharu itu merupakan usaha di bawah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dengan kerjasama CSC.
Di bawah program tersebut, pegawai awam daripada pelbagai sektor akan ditawarkan program berstruktur, secara dalam talian dan secara bersemuka.
Mereka juga dapat menguji pendekatan baharu, mereka bentuk semula aliran kerja serta membangunkan penyelesaian menggunakan alat teknologi termasuk AI.
“Kadangkala, masalah terletak pada proses, data atau cara kerja disusun. Sebab itulah IDG akan bermula dengan pemikiran berasaskan produk.
“Kami akan menggalakkan pegawai untuk memahami masalah dengan lebih baik terlebih dahulu, kemudian menentukan sama ada teknologi boleh membantu,” kata Cik Lau.
Institut baharu itu akan membantu pegawai awam di semua peringkat, daripada mereka yang baru menyertai perkhidmatan awam hingga kepimpinan kanan, dalam menggunakan alat digital dalam tugasan mereka.
Setakat ini, hampir 150 pemimpin kanan, termasuk Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha dan ketua agensi, telah menjalani latihan asas keupayaan digital, kata MDDI.
Institut baharu itu juga telah menyusun pelan pembelajaran selama 12 minggu, yang akan membolehkan setiap pasukan memperuntukkan sejam seminggu untuk membina keupayaan digital serta mengaplikasikan perkara yang dipelajari secara bersama.
Selain itu, IDG juga telah mula menubuhkan komuniti pembelajaran yang menghimpunkan pegawai daripada pelbagai agensi untuk berkongsi produk dan amalan yang berguna.
Sebagai contoh, IDG sedang merintis komuniti “Champions of AI Transformation” (CATs).
Ia terdiri daripada pegawai daripada peranan bukan teknikal yang menerajui reka bentuk semula aliran kerja menggunakan AI dalam agensi masing-masing, selain berkongsi pengalaman dan pembelajaran dengan rakan sejawat daripada agensi lain.
