LEBIH 16,400 dos vaksin Moderna/Spikevac telah diberikan kepada kanak-kanak berusia antara enam bulan dengan empat tahun sejak ia diperkenal pada Oktober 2022 bagi golongan usia tersebut.
Daripada jumlah tersebut, lapan kejadian buruk dilaporkan.
Lebih daripada 81,400 dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata dalam satu kenyataan di laman webnya semalam bahawa kejadian buruk yang serius selepas vaksinasi Covid-19 pada kanak-kanak berumur enam bulan hingga 11 tahun jarang berlaku.
Berdasarkan penilaian data semasa setempat dan luar negara, tiada isyarat keselamatan baru telah dikenal pasti dengan penggunaan vaksin Covid-19 dalam kumpulan umur ini, tambah HSA.
Vaksin Moderna/Spikevax Bivalent Original/Omicron Covid-19 telah dilancarkan di Singapura pada 14 Oktober 2022, dan sebanyak 482,666 dos telah diberikan, lapor The Straits Times.
Vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty Bivalent Original/Omicron Covid-19 telah dilancarkan di Singapura pada 12 Disember 2022 dan 202,382 dos vaksin ini telah diberikan.
Terdapat 59 reaksi buruk, atau kadar pelaporan 0.012 peratus, dalam kalangan mereka yang mendapat suntikan bivalent Moderna/Spikevax.
Bagi mereka yang mendapatkan vaksin bivalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty, terdapat 11 kejadian buruk, atau kadar pelaporan 0.005 peratus.
Kejadian buruk yang dilaporkan bagi vaksin bivalen mRNA adalah serupa dengan vaksin monovalen.
Kebanyakannya melibatkan isu tidak serius seperti tindak balas alahan termasuk ruam dan bengkak di kelopak mata, demam, pening, ketidakselesaan atau kesakitan dada, pengsan dan peningkatan tekanan darah.
Sehingga 31 Disember 2022, sejumlah 40,873 dos vaksin Nuvaxovid telah diberikan.
Kadar pelaporan kejadian buruk yang serius ialah 0.02 peratus, atau sembilan laporan.
Sebanyak 722,419 dos vaksin Covid-19 yang tidak aktif (Sinovac-CoronaVac dan Sinopharm) telah diberikan pada 31 Disember 2022.
Kadar pelaporan kejadian buruk yang serius ialah 0.006 peratus, atau 40 laporan.
Tiada penemuan keselamatan baru bagi vaksin yang tidak aktif sejak kemas kini terakhir diterbitkan pada September 2022.
Secara keseluruhan, berdasarkan data setakat ini, menurut laman web HSA, manfaat vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, Moderna/Spikevax, Nuvaxovid dan Sinovac-CoronaVac Covid-19 terus melebihi risikonya yang diketahui.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg