Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 19,000 pasangan raih manfaat 'Bersamamu'

Jan 15, 2023 | 5:30 AM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. -

LEBIH 19,000 pasangan telah meraih manfaat daripada program 'Bersamamu', yang menawarkan bimbingan oleh Naib Kadi kepada pasangan sebelum dan sehingga dua tahun pernikahan, sejak program itu dilancarkan tiga tahun lalu.

Memberi perkembangan tentang program itu dalam satu wawancara dengan media, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata: "Kami sudah mendapatkan maklum balas yang baik daripada pelbagai lapisan masyarakat - ibu bapa, mempelai dan juga naib kadi kami.

"Kami akan meneruskan usaha ini untuk memperkukuh, dan memberi ruang yang positif bagi mereka yang hendak berkahwin, dan yang sudah berkahwin. Kalau mereka mempunyai keluarga kukuh, kami juga mempunyai masa depan yang baik sebagai sebuah masyarakat."

Satu kajian penilaian program oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) melibatkan lebih 500 individu sebelum ini menunjukkan maklum balas yang positif terhadap program 'Bersamamu'.

Pasangan telah memberi markah secara purata 4.63 daripada lima bagi menilai kepuasan terhadap khidmat yang diberikan, dan rata-ratanya mengiktiraf manfaat daripada bimbingan dan sokongan dalam tahun-tahun awal perkahwinan mereka untuk membina asas kukuh bagi keluarga mereka.

Sementara itu, seramai 708 pasangan pula telah mendaftar bagi Projek Arif, yang disasarkan kepada pasangan yang mungkin memerlukan sokongan tambahan dari segi kesihatan ibu dan pembangunan kanak-kanak.

Program itu merupakan kerjasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Selain itu, lebih 1,000 individu pula telah didekati menerusi program termasuk webinar SaturDATE, mengenai pelbagai topik kesihatan ibu dan anak, serta pengagihan buku panduan Projek Arif.

170 keluarga tinggal rumah sewa didekati Projek Dian

SERAMAI 170 keluarga yang tinggal di flat sewa awam telah didampingi menerusi Projek Dian@M Kuasa Tiga (M³), yang menyediakan sokongan menyeluruh termasuk bantuan pekerjaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Projek Dian, yang diselaraskan Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M Kuasa Tiga (M3) atau M³ Eco, juga bertujuan memperkasa mereka untuk berdikari, berpindah keluar dari flat sewa dan memiliki flat sendiri.

Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata inisiatif itu diperkenalkan pada 2021 menyusuli perangkaan yang menunjukkan jumlah keluarga Melayu yang menetap di flat sewa satu atau dua bilik meningkat kepada 12.3 peratus pada 2020 daripada 7.5 peratus pada 2010.

"Ada tiga golongan keluarga yang dikenal pasti. Golongan pertama ialah keluarga yang sudah tinggal lama di flat sewa, sudah lanjut usia dan mahu terus tinggal di sana.

"Kedua ialah keluarga pertengahan umur yang dahulu pernah memiliki rumah tetapi kerana cabaran sosial, terpaksa jual rumah mereka. Kami lihat mereka mempunyai potensi untuk mendapatkan pekerjaan stabil dan miliki flat mereka sendiri lagi.

"Golongan ketiga adalah golongan muda yang apabila berumah tangga mereka layak dan langsung diberikan rumah sewa," ujar Dr Maliki.

Golongan ketiga itu menjadi tumpuan Projek Dian untuk membantu mereka menstabilkan pendapatan mereka, memberi perhatian kepada pendidikan awal anak-anak mereka dan menyediakan ekosistem sokongan kepada golongan ini.

Sejak 2021, M³Eco telah menjalankan 15 sesi bengkel latihan kunjungan rumah untuk lebih 150 sukarelawan yang mendampingi keluarga di bawah Projek Dian.

M³Eco juga telah merintis inisiatif Duta Dian untuk memberi sokongan tambahan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.

Pertingkat Saham Kesihatan

INISIATIF Saham Kesihatan, satu usaha mengurangkan gejala penyakit kronik dalam kalangan masyarakat Melayu, akan diperluaskan kepada lebih banyak Bandar@M Kuasa Tiga (M³).

Program itu telah dirintis di M³@Tampines dan M³@Jurong sebagai permulaan pada 2022 dan akan dipertingkat lagi, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Wadah M³ memberi peluang meluaskan program peringkat nasional seperti HealthierSG kepada peringkat masyarakat, katanya.

"Menerusi M³@Bandar, kami melaksanakan usaha ini menerusi Saham Kesihatan. Kami telah bekerjasama dengan M³@Jurong dan M³@Tampines sebagai permulaan, dan kami akan mempertingkatkannya.

"Oleh itu, M³@Bandar menyediakan wadah bagi kami untuk menterjemah usaha peringkat nasional ini dan mendekati penduduk dengan nuansa di peringkat masyarakat," ujar Cik Rahayu.

Inisiatif Saham Kesihatan merupakan kerjasama antara Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), bersama M³@Bandar, Sukan Singapura (SportSG), ActiveSG dan Persatuan Rakyat (PA).

Program itu menggalakkan penduduk Melayu/Islam mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kumpulan minat dalam masyarakat.

Pelbagai kumpulan ini mempunyai fleksibiliti untuk mereka bentuk program kesihatan sendiri, dan bekerjasama dengan HPB untuk mengakses pelbagai kemudahan dan perkhidmatan penggalakan kesihatan.

Sebahagian daripada inisiatif itu, penduduk boleh menjalani siri penilaian kesihatan.

PENTING PASTIKAN USAHA BANGUNKAN SEKTOR AGAMA DIBIAYAI MASYARAKAT SENDIRI

"Sumber (membiayai usaha tersebut) perlu datang daripada masyarakat sendiri, kita tidak boleh bergantung kepada dana awam, MOF (Kementerian Kewangan) atau pihak luar negara, meskipun mereka bersikap murah hati kerana ini sesuatu yang kita tidak ingin lakukan. Ini kerana sektor agama perlu berdikari dan untuk berdikari kita perlu bergantung kepada sumber masyarakat sendiri. Ini juga bermakna, kita perlu mewujudkan sumber kekayaan sendiri dan menjana pendapatan melalui saluran baru, termasuk melalui Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) akan datang," - Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

PERKEMBANGAN PROGRAM 'BERSAMAMU'

"Kami ingin teruskan usaha memperkukuh dan terus memberikan ruang yang positif bagi masyarakat kita yang ingin berkahwin dan juga yang telah berkahwin. Ini supaya kita boleh bangunkan aspek ini, kerana apabila kita mempunyai keluarga-keluarga yang lebih kukuh, bermakna masyarakat Melayu/Islam juga mempunyai masa depan yang lebih baik." - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg