Semua Anggota Perkhidmatan Negara, sama ada yang masih berkhidmat atau tidak; serta anggota Persatuan Askar Kerahan (Safra) boleh menerima diskaun bagi makanan, produk gaya hidup dan perkhidmatan tertentu di 180 kedai di seluruh negara.
Langkah itu adalah sebahagian daripada habuan bagi meraikan ulang tahun Pertahanan Mutlak ke-40.
Antara habuan yang lebih menonjol ialah diskaun separuh harga untuk bayaran tempahan apabila menggunakan kemudahan kelab di Safra, menonton wayang hujung minggu di pawagam Shaw Theatres dan promosi di rangkaian makanan dan minuman seperti Burger King dan The Coffee Bean & Tea Leaf.
Anggota Safra juga boleh mendapatkan aiskrim di semua cawangan Swensen’s.
Selain itu, anggota perkhidmatan negara dan anggota Safra juga boleh mendapatkan 15,000 burger ayam McChicken daripada McDonald’s. Mereka perlu mendapatkan kad hadiah di kaunter perkhidmatan pelanggan di kelab-kelab Safra untuk menebus burger ini di sebarang cawangan McDonald’s.
Antara 28 Jun dengan 2 Julai, anggota Safra dan anggota perkhidmatan negara juga boleh mendapat diskaun 23 peratus apabila mengisi minyak di Caltex.
Kebanyakan daripada 220 Tawaran Menghargai NSmen, atau 220 Appreciating NSmen Deals, bermula pada 1 Julai, sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Kebanyakan tawaran berkekalan sehingga 31 Ogos, kata Safra dalam kenyataan pada 30 Jun.
Anggota perkhidmatan negara dan anggota Safra perlu menunjukkan kad 11B atau kad keanggotaan Safra untuk menikmati tawaran itu.
Senarai tawaran itu boleh dilihat di safra.sg/appreciationdeals
Tawaran itu sebahagian daripada habuan bagi meraikan usaha anggota perkhidmatan negara dan untuk memperingati kempen Pertahanan Mutlak yang mencapai usia 40 tahun pada 2024.
Kempen itu menekankan kepada warga Singapura supaya memainkan peranan dalam aspek pertahanan seperti sosial, ekonomi, ketenteraan, sivil, psikologi dan digital.
Lebih 80,000 anggota perkhidmatan negara dan keluarga mereka telah menyertai acara rumah terbuka Safra yang diadakan antara 15 Jun dengan 30 Jun di tujuh cawangan Safra.
Pada 30 Jun, acara rumah terbuka Safra itu melabuh tirai dengan acara di Safra Choa Chu Kang.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan isterinya, Puan Jane Ittogi, merupakan antara tetam di acara itu.
Mereka disertai oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Encik Tharman yang juga penaung Safra, menulis ikrar peribadi yang menunjukkan komitmen beliau terhadap Pertahanan Mutlak.
Bercakap kepada media, Encik Zaqy, yang juga presiden Safra, berkata lebih 40,000 ikrar telah dikumpulkan daripada orang awam demi menunjukkan sokongan kepada NSmen, atau mengikut tema berhubung Pertahanan Mutlak, seperti pertahanan sosial.
“Setiap tahun, NSmen berkhidmat, sama ada dalam SAF, SCDF (Pasukan Pertahanan Awam Singapura) atau dengan polis, untuk berlatih dan mempertahankan pertahanan dan keselamatan kita,” kata Encik Zaqy.
“Kami menghargai semua usaha dan sumbangan mereka, terutama sokongan yang diberikan oleh keluarga mereka.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg