LEBIH 2,300 pejalan yang sudah menerima vaksin Covid-19 telah mendapat kelulusan untuk memasuki Singapura dalam tempoh 16 hari sejak permohonan bagi satu pengaturan perjalanan baru dibuka.

Hingga 11.59 malam pada Khamis (16 Sept), seramai 2,241 individu dari Jerman dan seramai 81 individu dari Brunei telah mendapat kelulusan untuk memasuki melalui Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) antara 8 September dan 22 Oktober.

Di bawah skim itu, pejalan dari dua negara itu yang telah divaksin boleh memasuki Singapura dan melakukan kegiatan mereka tanpa perlu menjalani notis jangan keluar rumah. Tetapi mereka perlu menjalani hingga empat ujian swab reaksi rantai polimerase Covid-19 (PCR) untuk perjalanan mereka.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata pada Ahad (19 Sep) bahawa sebanyak 962 pas perjalanan bagi orang yang divaksin itu diberikan kepada pengunjung jangka pendek, manakala yang baki 1,279 dikeluarkan kepada pemegang pas jangka panjang.

Bagi Brunei, CAAS berkata ia telah mengeluarkan 74 pas bagi pengunjung jangka pendek, dan tujuh lagi bagi pemegang pas jangka panjang.

Pejalan dari dua negara itu perlu memenuhi beberapa syarat, termasuk telah tinggal di Brunei, Jerman, dan/atau Singapura bagi tempoh 21 hari lalu sebelum berangkat ke Republik ini.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti