Lebih $3 juta telah dikumpulkan menerusi kempen Palang Merah Singapura (SRC) bagi membantu mangsa banjir di Nepal dan China.

Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, berkata pada 3 September bahawa pihaknya amat berterima kasih atas sambutan orang ramai terhadap kempen tersebut.

Beliau berkata ramai individu turut hadir ke Rumah Palang Merah di Penang Lane untuk menyerahkan sumbangan mereka.

“Lambang perpaduan dan sokongan ini akan diterjemahkan kepada bantuan yang amat diperlukan masyarakat yang terjejas akibat banjir, membantu mereka dalam usaha bantuan kecemasan segera serta proses pemulihan.

“Kami akan menghargai kepercayaan orang ramai dengan memastikan sumbangan ini diuruskan secara telus dan cekap, sekali gus memberi impak maksimum,” katanya.

SRC turut memberikan komitmen tambahan sebanyak $170,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan, selain sumbangan awal sebanyak $50,000.

Daripada jumlah tambahan itu, $80,000 akan digunakan bagi menyediakan bekalan makanan kecemasan untuk diagihkan kepada sekitar 2,500 keluarga.

Sebanyak $90,000 lagi akan digunakan untuk menyediakan akses kepada air minuman yang selamat, termasuk penapis air dan serbuk penulenan air.

Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Tibet dan Nepal pada 26 Ogos, sehingga menghanyutkan seluruh kampung.

Sehingga 3 September, jumlah korban akibat bencana itu telah melebihi 1,200 orang, manakala lebih 4,200 lagi masih hilang.

Antara yang masih hilang ialah sembilan warga Singapura, yang dikenal pasti sebagai Encik Rengarajan Prabu, Cik Shalinny Deavy Elan Sozan, Encik Subramaniam Diraviam, Encik Rajesvaran Ayyavoo, Cik Estee Loeh, Encik Ghosh Aditi, Encik Ng Kit Kuen, Cik Shubakshi Rawla dan Encik Sumit Rawla.

Usaha mengumpul dana oleh SRC bermula pada 28 Ogos dan berjaya mengumpulkan lebih $1 juta dalam tempoh tiga hari.

Pemerintah Singapura turut menyumbang AS$100,000 ($127,000) kepada kempen tersebut, selain menghantar satu pasukan daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi membantu Nepal dalam usaha mengenal pasti mangsa bencana.

Bekalan daripada pihak awam dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) juga akan dihantar ke Nepal.

Sehingga 2 September, Palang Merah Nepal telah mengagihkan 1,520 selimut, 715 tilam, 1,418 kanvas tarpaulin, 392 kit kebersihan, 760 kit maruah diri, 365 kelambu dan 80 tandas kecemasan ke kawasan yang terjejas.

Usaha bantuan itu turut merangkumi pengagihan air botol, makanan sedia dimakan dan barangan keperluan asas, selain penyediaan makanan kepada 750 penduduk yang dipindahkan di perbandaran Nuwakot.

Kempen derma SRC akan berlangsung sehingga 30 November.