LEBIH 300 orang sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes penipuan dan bertindak sebagai 'keldai wang'.
Kegiatan mereka dikesan menyusuli satu operasi selama dua minggu yang dijalankan polis.
Mereka yang disiasat terdiri daripada 226 lelaki dan 97 wanita, berusia antara 16 hingga 77 tahun.
Dalam satu kenyataan semalam, polis mengatakan mereka yang disiasat itu disyaki terlibat dalam 606 kes penipuan meliputi penipuan cinta dalam Internet, e-dagang, pelaburan dan pinjaman palsu.
Jumlah yang terlibat pula melebihi $8.96 juta.
Suspek, menurut polis, disiasat atas kesalahan menipu atau pengubahan wang haram.
Sesiapa didapati bersalah menipu di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda.
Mereka yang didapati bersalah bagi pengubahan wang di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius lain (Akta Rampasan Ganjaran) boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda hingga $500,000.
Polis menasihati orang ramai bahawa mereka boleh mengelakkan diri daripada menjadi subahat jenayah dengan sentiasa menolak permintaan untuk menggunakan akaun bank atau talian telefon bimbit mereka.
Jika tidak, mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya akaun bank atau talian telefon bimbit mereka digunakan bagi kegiatan yang didapati ada kaitan dengan urus niaga terlarang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg