LEBIH 300 tetamu, termasuk benefisiari Persatuan Muhammadiyah daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan menyertai acara berbuka puasa beramai-ramai di Bazar Raya Geylang Serai 2023 pada 18 April.
Acara berbuka puasa itu dianjurkan oleh Enniche Global Trading, yang merupakan sebahagian daripada konsortium yang mengendalikan bazar tersebut.
Diadakan berhampiran Sims Avenue, acara itu merupakan acara berbuka puasa beramai-ramai pertama di Bazar Raya Geylang Serai sejak Enniche mengendali bazar buat pertama kali pada 2012.
Ruang makan yang terletak di hadapan khemah 'badwi' di kawasan Souq City - salah satu daripada dua lokasi di bazar tersebut - dihiasi dengan lampu lap-lip bagi menyemarakkan suasana Hari Raya.
Makanan dan minuman telah disediakan oleh Restoran Padi@Bussorah, firma minuman Pokka dan Shakira's Pte Ltd.
Pengasas Enniche Global Trading, Encik Mohamed Mustaffa Shah Jehan, berkata:
"Kami menganjurkan acara iftar beramai-ramai ini dan menjemput benefisiari Persatuan Muhammadiyah untuk berbuka puasa bersama kami di bazar.
"Ia memberi mereka peluang merasa pengalaman berbuka puasa beramai-ramai dalam suasana penuh ukhuwah di bawah lampu lap-lip dan di hadapan khemah badwi istimewa kami."
"Salah satu kebajikan bulan Ramadan ialah sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk mereka yang berpuasa, pahala mereka sama seperti orang yang berpuasa.
"Jadi cara apa yang lebih baik untuk menerima pahala itu daripada menyediakan iftar untuk keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan."
Pengunjung yang hadir pada acara itu turut menikmati pelbagai juadah di kedua-dua kawasan bazar iaitu Souq City dan Street Bazaar, serta persembahan hiburan dan permainan arked.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg