Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 3,000 penggiat seni bakal sertai Chingay 2026

Dec 4, 2025 | 5:56 PM
chingay, singapore
Perarakan Chingay kembali pada 27 dan 28 Februari 2026 di Bangunan Pit F1, menampilkan lebih 3,000 penggiat seni. Ia merupakan kerjasama masyarakat terbesar dalam sejarah perarakan Singapura. - Foto fail

Perarakan Chingay kembali pada 27 dan 28 Februari 2026 di Bangunan Pit F1, melibatkan lebih daripada 3,000 penggiat seni.

Ia akan menampilkan kerjasama masyarakat terbesar dalam sejarah perarakan Singapura, menurut Persatuan Rakyat (PA) pada 4 Disember.

Bertemakan ‘Harapan’, edisi ke-54 perarakan tersebut akan memaparkan warisan budaya majmuk Singapura menerusi lima kenderaan berhias, yang dihasilkan oleh 5,000 penduduk dari lima kawasan di Singapura – kawasan Central (Tengah Bandar), Timur Laut, Barat Laut, Tenggara dan Barat Daya.

Kenderaan berhias untuk 2026 berukuran 7 meter panjang, meningkat daripada 3 meter, seperti yang dipamerkan sejak beberapa tahun lalu, tambah PA.

Buat kali pertama dalam sejarah perarakan Chingay, penonton akan duduk dalam gelanggang berbentuk cincin yang mengelilingi pentas bulat bertingkat.

Susunan itu mewujudkan pengalaman 360 darjah yang mendalam, sekali gus mengubah penonton menjadi peserta aktif dalam sambutan Chingay, kata PA.

Acara persembahan malam itu akan berlangsung dalam lapan segmen, empat daripadanya diinspirasikan oleh perayaan tempatan seperti Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan Hari Raya.

PA juga akan menjemput golongan rentan dan kurang bernasib baik, serta penjaga mereka, menerusi program Chair for a Cause @ Chingay.

Menurut laporan pada Mac, Singapura dan Malaysia mencalonkan perarakan Chingay bagi Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Lembaga Warisan Negara (NHB) berkata pencalonan itu dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara, yang mempunyai masyarakat pengamal Chingay di Singapura, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Tiket bagi Chingay 2026 akan mula dijual mulai 10 Disember melalui laman web Sistic.

Kredit Pas Budaya SG boleh digunakan untuk membeli tiket yang berharga antara $20 dengan $60, tidak termasuk kos tempahan.

Pemegang kad PAssion akan layak menerima promosi awal sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket dari 10 Disember hingga 11 Januari 2026.

Selepas promosi berakhir, pemegang kad PAssion masih dapat menikmati diskaun sebanyak 20 peratus daripada harga tiket.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg