Lebih 400,000 penduduk di kawasan barat Singapura telah mendaftar bagi mendapatkan akses lebih mudah kepada khidmat penjagaan kesihatan, sumber serta bahan penilaian kendiri, sekali gus mengambil langkah proaktif terhadap kesihatan masing-masing.
Kesihatan Bersama, satu daya utama dilancarkan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pada Mei 2023, telah mencapai satu pertiga daripada sasarannya untuk mendapatkan seramai 1.14 juta penduduk di kawasan barat seperti Jurong, Clementi dan Queenstown.
Daya utama itu menyokong pendekatan melibatkan seluruh masyarakat, yang perlu bagi mencapai matlamat SG Lebih Sihat, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa pesta Kesihatan Bersama di Pasar Teck Whye di Choa Chu Kang pada 11 Mei.
“Kesihatan kami adalah penting,” kata Encik Gan, yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, lapor The Straits Times.
“Kami mahu menawarkan kepada semua warga Singapura seorang GP (doktor perubatan umum), seorang doktor keluarga yang diyakini, dan bagi membina sokongan daripada masyarakat terhadap gaya hidup yang lebih sihat,” ujarnya.
Untuk menyertai daya utama berkenaan, penduduk perlu memuat turun aplikasi NUHS ke dalam telefon bimbit mereka, yang kemudian akan menawarkan pelbagai ciri dan sumber kesihatan termasuk satu direktori yang membolehkan mereka mengenal pasti lokasi doktor keluarga, GP, serta khidmat jagaan pakar di daerah barat Singapura.
Aplikasi itu juga menyediakan satu senarai pusat kesihatan masyarakat, iaitu lokasi tertentu di kawasan kejiranan bagi penduduk mendapatkan akses mudah kepada perkhidmatan kesihatan.
Penduduk boleh membuat janji temu ke sebuah pusat kesihatan, dan sewaktu pertemuan itu, mengutarakan pertanyaan mengenai keperluan kesihatan mereka.
Terdapat sebanyak 60 pusat kesihatan di serata 27 kawasan undi di sini. Pusat terbaru dibuka pada 7 Mei di Clementi di Rangkaian Penduduk Gateway View.
Lokasi lain boleh didapati menerusi aplikasi tersebut.
Mereka yang menyertai daya utama itu juga diberikan bahan bagi membuat penilaian kendiri termasuk memeriksa profil risiko, senarai pemeriksaan bagi kesihatan serta pemantauan kesihatan dan akses kepada senarai acara dan kegiatan seperti pemeriksaan kesihatan dan seminar oleh pakar perubatan.
Penduduk yang tidak mempunyai telefon bimbit atau perlu mengakses aplikasi itu boleh merujuk kepada pertubuhan akar umbi bagi mendapatkan bantuan.
Pesta kesihatan di Choa Chu Kang itu antara lain menampilkan persembahan serta beberapa reruai yang disediakan rakan masyarakat yang terlibat dalam daya utama Kesihatan Bersama, seperti Majlis Sukan Singapura (SportSG), khidmat jagaan warga emas, St Luke’s ElderCare, dan Pusat Penuaan Aktif Fei Yue.
Dianjurkan bersama NUHS dan Persatuan Rakyat, pesta itu dihadiri sekitar 1,200 penduduk dan adalah acara pertama daripada beberapa acara lain dirancang diadakan pada separuh kedua 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg