LEBIH 44,000 pekerja asing menerima tambahan nilai $10 secara percuma untuk kad SIM prabayar mereka supaya mereka dapat menghubungi keluarga semasa tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Di bawah inisiatif kumpulan pekerja asing Transient Workers Count Too (TWC2), pekerja yang tiada nilai dalam akaun prabayar M1, Singtel dan Starhub sehingga 1 Mei mendapat penambahan nilai secara automatik sejak Jumaat lalu hingga Isnin.

Sebahagian besar inisiatif itu dibiayai syarikat media sosial Facebook dan pertubuhan bukan mencari keuntungan Community Foundation of Singapore, kata TWC2 pada Rabu (27 Mei).

Sejumlah 10,000 kad tambah nilai fizikal juga akan diagihkan kepada pekerja yang tinggal di kilang yang ditukar menjadi asrama, lapor The Straits Times.