Lebih 4,700 jururawat berusia 46 tahun dan ke atas yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun dalam sektor penjagaan kesihatan awam mendapat bayaran penghargaan sekali sahaja antara $5,000 dengan $15,000 pada September.
Bayaran itu di bawah skim Anugerah bagi Adab, Kecemerlangan dan Kesetiaan Jururawat, atau ‘Award for Nurses’ Grace, Excellence and Loyalty’ (Angel).
Seramai 29,000 jururawat sektor penjagaan kesihatan awam dan masyarakat layak meraih manfaat daripada skim itu, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan pada 25 September.
MOH memperkenalkan skim tersebut bagi menarik dan menggalak jururawat membina kerjaya sepanjang hayat dalam bidang kejururawatan.
Ia diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada Februari.
Dalam institusi penjagaan kesihatan awam, 24,000 jururawat layak di bawah skim Angel dan boleh menerima pembayaran setiap tiga hingga enam tahun, kata MOH.
Jururawat yang terus bekerja di sektor penjagaan kesihatan awam, termasuk jururawat baru, boleh menerima jumlah pembayaran hingga $100,000 sepanjang 20 tahun kerjaya mereka.
MOH berkata pembayaran pada September itu bertujuan “mengiktiraf sumbangan jururawat berpengalaman dan telah berkhidmat beberapa tahun”.
“Jururawat yang telah berkhidmat bagi tempoh beberapa tahun sahaja biasanya menyertai bidang ini pada usia muda, dan akan dapat menikmati sepenuhnya manfaat skim ini jika mereka meneruskan kerjaya dalam bidang kejururawatan,” katanya.
Seramai 5,000 jururawat yang bertugas di pertubuhan penjagaan masyarakat dan agensi perkhidmatan sosial yang dibiayai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga dapat meraih manfaat skim Angel.
MOH berkata ia akan bekerja rapat dengan pihak majikan pada bulan mendatang bagi menggalak mereka menyertai skim tersebut.
“Kami berharap dapat menggalak jururawat kekal dan terus menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan awam yang lebih luas, serta menarik lebih ramai orang mengambil kejururawatan sebagai kerjaya.
“Kami akan meneruskan usaha lain, seperti mengembangkan laluan latihan kejururawatan tempatan untuk lulusan baru dan mereka yang menyertai bidang ini pada pertengahan kerjaya mereka, serta merekrut jururawat asing untuk menambah teras jururawat tempatan kita,” tambah MOH.
Di bawah skim Angel, jururawat berusia di bawah 46 tahun dan baru akan menerima bayaran setiap empat hingga enam tahun sejak mereka menyertai skim itu, dengan setiap pembayaran adalah antara $20,000 dengan $30,000.
Menurut jadual pembayaran skim itu, jururawat berusia di bawah 46 tahun dan baru menyertai institusi penjagaan kesihatan awam sebelum September 2024 akan mendapat bayaran pertama sebanyak $20,000 pada 2028, selepas empat tahun berkhidmat.
Bayaran kedua ialah $25,000, yang akan diberi lima tahun kemudian pada 2033 bagi perkhidmatan selama sembilan tahun.
Ini diikuti dengan $30,000 pada 2039 sebagai pembayaran ketiga bagi perkhidmatan 15 tahun; dan $25,000 pada 2044 untuk pembayaran keempat dan terakhir bagi perkhidmatan 20 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg