Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 500 keluarga berkelah bersama Presiden Halimah di Istana

Dec 31, 2017 | 5:30 AM
RAIKAN KELUARGA: Presiden Halimah, suami Encik Mohamed Abdullah Alhabshee (kanan) beramah mesra dengan keluarga yang bersantai dan berkelah di perkarangan Istana semalam - Foto BM oleh DESMOND WEE
RAIKAN KELUARGA: Presiden Halimah, suami Encik Mohamed Abdullah Alhabshee (kanan) beramah mesra dengan keluarga yang bersantai dan berkelah di perkarangan Istana semalam - Foto BM oleh DESMOND WEE -

SEKITAR 500 keluarga daripada pelbagai lapisan usia telah berkumpul dan berkelah di perkarangan Istana bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan berkongsi harapan untuk Tahun Baru yang bakal menjelang.

Kegiatan itu adalah sebahagian daripada acara berkelah, Families for Life Picnic@Istana yang dianjurkan bersama Pejabat Presiden dan agensi penggalak hidup berkeluarga di Singapura, Keluarga untuk Kehidupan (FFL) semalam.

Acara tersebut turut dihadiri oleh tetamu terhormat, Presiden Halimah Yacob.

Bercakap dalam acara itu, Presiden Halimah berharap acara itu akan mengingatkan warga Singapura tentang betapa pentingnya mengutamakan keluarga di tengah-tengah jadual harian yang padat.

"Sedang 2017 melabuhkan tirainya dan kita memandang ke hadapan untuk menyambut tahun yang baru pada 2018, ia juga adalah peluang yang bertepatan untuk keluarga meluangkan masa bersama.

"Keluarga adalah tunggak masyarakat kita dan berperanan sebagai sauh dalam dunia yang pesat berubah.

"Bagaimana pun, hubungan tidak boleh diambil ringan dan kita harus sentiasa melakukan usaha untuk memupuk hubungan dan ikatan dalam keluarga kita," jelas beliau.

Sementara itu anggota Majlis FFL, Brigedier-Jeneral (BG) (NS) Ishak Ismail turut mengingatkan keluarga setempat tentang peri pentingnya ikatan keluarga yang rapat.

"Masa keluarga yang bermutu tidak akan berlaku secara sengaja.

"Kita perlu mengambil usaha untuk memperuntukkan masa untuk berehat, berhubungan semula dan mungkin membuat resolusi untuk Tahun Baru bersama-sama sebagai sebuah keluarga, khususnya dalam kita melangkah ke 2018," ujarnya.

Tambahnya, apabila sebuah keluarga membuat azam baru bersama, mereka akan mempunyai komunikasi lebih baik, menggalak satu sama lain dan lebih berkemungkinan berjaya sebagai sebuah 'pasukan'.

Dalam pada itu, pada tahun baru ini, FFL akan terus menyediakan wadah yang mudah diakses untuk keluarga-keluarga setempat meluangkan lebih banyak masa bermutu bersama, mengadakan perbualan agar dapat lebih memahami satu sama lain dan memperkukuhkan hubungan keluarga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg