Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 500 tangga gerak di 4 laluan MRT bakal dinaik taraf
Lebih 500 tangga gerak di 4 laluan MRT bakal dinaik taraf
Lebih 500 tangga gerak di empat laluan MRT akan dinaik taraf bagi meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan serta keselesaan penumpang.
Mulai 17 Disember, sebanyak 290 tangga gerak di Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan Timur Laut (NEL) akan menjalani kerja naik taraf secara berperingkat, dengan projek tersebut dijadual siap menjelang akhir 2032.
Perkara tersebut diumumkan dalam satu kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bersama pengendali rel SMRT dan SBS Transit pada 19 November.
Stesen yang terlibat termasuk Woodlands, Sembawang, Toa Payoh dan Orchard di NSL; serta Lapangan Terbang Changi, Tanah Merah dan Tanjong Pagar di EWL.
Di NEL pula, stesen yang terlibat merangkumi HarbourFront, Chinatown, Dhoby Ghaut, Serangoon, Sengkang dan Punggol.
Program naik taraf ini merupakan lanjutan daripada kerja naik taraf 231 tangga gerak sebelum ini oleh SMRT di NSL dan EWL, yang mengambil masa enam tahun dan selesai pada 2022.
Fasa naik taraf terkini akan merangkumi 83 tangga gerak yang belum dijadualkan untuk dinaik taraf di bawah program sebelum ini.
Tangga gerak yang bersebelahan dengan stesen, seperti di jejantas pejalan kaki, akan turut dinaik taraf sebagai sebahagian program ini.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 19 November, LTA menyatakan tangga gerak yang dijadualkan untuk dinaik taraf itu telah digunakan antara 15 dengan 30 tahun, dengan sebahagiannya mula beroperasi seawal 1996.
Sementara itu, tangga gerak di stesen yang lebih baharu – seperti Marina South Pier dan Canberra di NSL, serta enam stesen antara Pioneer dengan Tuas Link di EWL – tidak memerlukan kerja naik taraf, kata LTA kepada The Straits Times (ST) dalam satu kenyataan sebelum ini.
Kerja peningkatan ke atas 237 lagi tangga gerak di Laluan Circle (CCL) akan bermula pada tarikh yang bakal diumumkan kelak.
Tangga gerak yang telah dinaik taraf itu akan dilengkapi sistem suara bagi pengumuman keselamatan, penunjuk LED untuk memaparkan arah pergerakan serta pencahayaan lebih baik.
Tangga gerak tersebut juga boleh beroperasi pada kelajuan biasa semasa waktu sibuk bagi melancarkan pergerakan penumpang, dan pada kelajuan lebih perlahan di luar waktu sibuk untuk menjimatkan tenaga serta memberi keselesaan lebih baik kepada penduduk yang semakin menua.
Setiap tangga gerak akan mengambil masa kira-kira empat hingga lima bulan untuk dinaik taraf kerana ia melibatkan penggantian dan naik taraf komponen mekanikal serta elektrikal termasuk motor, peralatan kawalan, anak tangga, susur tangan dan ciri-ciri keselamatan, menurut kenyataan itu.
Kerja-kerja di stesen yang melibatkan naik taraf beberapa tangga gerak secara serentak itu akan diatur bagi mengurangkan kesulitan kepada penumpang, tambah kenyataan itu.
Sekurang-kurangnya satu tangga gerak arah naik akan terus beroperasi di dalam stesen bagi membawa penumpang dari platform ke aras dataran (concourse) dan pintu masuk, selain kemudahan lif yang kekal disediakan.
Papan tanda arah juga akan dipaparkan bagi membimbing penumpang ke lif, tangga serta laluan alternatif lain yang tersedia.
Bagi jejantas pejalan kaki pula, penumpang boleh menggunakan lif, tangga atau lintasan pejalan kaki sepanjang kerja naik taraf tangga gerak dijalankan, memandangkan hanya terdapat satu tangga gerak di setiap bahagian jejantas tersebut, menurut kenyataan itu.