BILANGAN pelawat ke Singapura dalam empat bulan pertama tahun ini telah melebihi angka keseluruhan bagi tahun 2021, sebahagian besarnya ekoran kenaikan pada bilangan kedatangan bulan April selepas Singapura melonggarkan sekatan Covid-19.
Sejumlah 540,430 orang telah melawat Singapura dari Januari hingga April, dengan lebih separuh daripada mereka, iaitu 294,300, tiba pada bulan lalu, menurut perangkaan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Sebagai perbandingan, Singapura menyambut kedatangan 329,990 pelawat sepanjang 12 bulan bagi tahun 2021.
Perangkaan bulan April juga merupakan yang tertinggi sejak Februari 2020, walaupun ia merangkumi sebahagian daripada 1.6 juta pengunjung yang datang ke sini semasa prapandemik pada April 2019.
Kenaikan bilangan pelawat itu, kata STB, ialah kerana ia kini sedang mempertingkat usaha pemasaran dan memberi tumpuan kepada sumber di negara dan rantau yang sudahpun membuka sempadan mereka seperti Asia Tenggara, India, Australia, Eropah, Amerika Syarikat dan yang terkini, Korea Selatan, lapor akhbar The Straits Times.
China dan Jepun dikecualikan buat masa ini kerana pasaran kedua negara itu kekal ditutup.
Pemerintah telah memperuntukkan hampir setengah bilion dolar untuk menyokong sektor pelancongan sepanjang beberapa tahun akan datang.
Ini merangkumi usaha pemasaran dan memberikan suntikan segar terhadap tarikan sedia ada.
"Kami telah mengekalkan portfolio yang seimbang dengan campuran pasaran baru dan jarak jauh," kata penolong ketua eksekutif kumpulan pemasaran STB, Encik Chang Chee Pey, sambil menekankan bahawa STB meneruskan usaha meski sempadan ditutup sepanjang dua tahun lalu.
Strategi akan menyokong pemulihan pelancongan negara dan memastikan Singapura terus menarik pelawat, tambahnya.
STB sedang memantau dengan dekat langkah sempadan negara lain agar ia dapat meningkatkan usaha pemasaran apabila perlu.
Sebelum ini industri pelancongan telah berkembang setiap tahun pada kadar antara 3.3 peratus dengan 7.7 peratus antara 2016 dengan 2019.
Namun pandemik Covid-19 telah menyebabkan kedatangan pelawat merosot ke paras amat rendah pada 2020.
Tetapi meski sektor pelancongan sedang kembali pulih, penganalisis berkata penutupan berterusan sempadan China, pasaran terbesar Singapura sebelum pandemik, kekal sebagai satu kebimbangan.
Pemulihan sepenuhnya tidak mungkin berlaku tanpa pelancong dari China yang merangkumi hampir 20 peratus bilangan pelawat keseluruhan bagi tahun 2019, ujar mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg