Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Lebih 6,000 flat BTO dilancar termasuk di Bedok, Woodlands

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih 6,000 flat BTO dilancar termasuk di Bedok, Woodlands

Dec 05, 2023 | 05:51 PM



Lebih 6,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) telah dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 5 Disember, dengan dua projek di bawah model perumahan awam lokasi utama (PLH).

Keseluruhannya, 6,057 flat dilancarkan dalam latihan BTO Disember di Bedok, Bishan, Bukit Merah, Bukit Panjang, Jurong West, Queenstown dan Woodlands.

Ini termasuk flat dua bilik hingga lima bilik dan apartmen penjagaan masyarakat (CCA).

Menurut HDB, empat daripada lapan projek itu mempunyai masa menunggu empat tahun atau kurang.

HDB juga mengumumkan ia akan meningkatkan subsidi yang diberikan kepada pembeli di dua projek – Alexandra Peaks di Bukit Merah dan Ulu Pandan Vista di Queenstown – yang ditawarkan di bawah model PLH pada pelancaran ini.

Subsidi tambahan ini, yang tidak dihuraikan secara terperinci, adalah sebagai respons kepada kenaikan harga dalam pasaran jualan semula, kata HDB dalam kenyataannya.

Pemilik flat yang memanfaatkan subsidi tambahan ini bagaimanapun akan dikenakan pembayaran balik subsidi yang lebih tinggi setelah penjualan semula flat mereka, ditetapkan pada kadar 8 peratus daripada harga jualan semula atau menurut penilaian, yang mana lebih tinggi.

Ini merupakan peningkatan daripada 6 peratus bagi projek PLH yang lalu.

Tempoh pendudukan minimum bagi projek-projek ini adalah 10 tahun.

Dalam kenyataan yang sama, HDB berkata ia telah mengusahakan beberapa langkah untuk mengurangkan masa menunggu bagi flat BTO.

Ini termasuk mengutamakan tapak di mana kerja pembinaan boleh dimulakan lebih awal, memecahkan projek BTO yang lebih besar kepada projek yang lebih kecil untuk pengurusan sumber yang lebih cekap oleh kontraktor serta mengguna pakai amalan perolehan inovatif untuk memendekkan tempoh projek dan mempercepatkan penyiapan projek.

Melalui usaha ini, hampir 70 peratus flat yang dilancarkan pada 2023 akan mempunyai masa menunggu empat tahun atau kurang, menurut HDB.

Ia menambah bahawa masa menunggu median projek BTO yang dilancarkan pada 2023 ialah tiga tahun 10 bulan.

“Ini menunjukkan kembalinya kepada norma prapandemik dan peningkatan yang ketara daripada kemuncak pandemik, yang menyaksikan tempoh menunggu selama empat hingga lima tahun.

“Melangkah ke depan, HDB komited untuk menawarkan lebih banyak projek BTO dengan masa menunggu selama tiga hingga empat tahun dan melancarkan lebih banyak flat masa menunggu yang lebih pendek mulai 2024,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut HDB lagi, 20 peratus flat PLH akan diketepikan bagi keluarga kali pertama, sementara dua peratus akan diketepikan buat keluarga kali kedua di bawah skim keutamaan anak yang telah berumah tangga.

Skim itu membolehkan anak yang sudah berumah tangga untuk tinggal berhampiran ibu bapa mereka.

Sementara itu, keluarga kali pertama yang layak boleh meraih manfaat daripada Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) sehingga $80,000.

Dengan EHG, pembeli flat boleh membeli flat tiga bilik pada harga $132,000 dan flat empat bilik pada $255,000 di estet belum matang seperti Jurong West, dan boleh membayar bagi rumah mereka melalui CPF tanpa perbelanjaan tunai.

Di estet matang seperti di Bedok, harga selepas geran bermula dari $238,000 bagi flat tiga bilik dan $376,000 bagi flat empat bilik.

Termasuk sesi jualan BTO pada bulan ini, HDB telah melancarkan sebanyak 22,780 flat BTO sepanjang 2023.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >