Sebuah sekolah baru berkemungkinan dibina di Toa Payoh West, yang bakal dibangunkan sepanjang dekad akan datang untuk menempatkan lebih 6,000 rumah baharu, rangkaian kawasan hijau dan pusat beli-belah pertama di kawasan barat bandar itu.

Rancangan masa hadapan bagi bahagian barat Toa Payoh itu diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 31 Oktober sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas menyuntik kesegaran kepada salah satu bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tertua di Singapura.

“Apabila kita menaik taraf bandar, kita mengambil peluang bukan sahaja mempertingkat prasarana, malah memperkenalkan rumah dan kemudahan baharu supaya bandar kita kekal menarik untuk didiami bagi semua generasi,” kata beliau.

Cadangan pembinaan sekolah baharu di Toa Payoh West sedang dikaji bagi memenuhi permintaan keluarga baharu yang berpindah ke kawasan kejiranan itu, tambah Encik Chee, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Bishan-Toa Payoh.

Kali terakhir pembinaan sekolah baharu diumumkan adalah pada Mac, membabitkan tiga sekolah pendidikan khas.

Sebelum itu, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan pada Mei 2025 bahawa dua sekolah rendah baharu akan dibina di Yishun dan Woodlands.

Bagaimanapun, HDB tidak memperincikan jenis sekolah yang sedang dikaji bagi Toa Payoh West itu.

Sebahagian daripada permintaan bagi sekolah di Toa Payoh itu dijangka datang daripada bakal penduduk Toa Payoh Hillside, sebuah projek Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan 1,600 unit bersebelahan stesen MRT Caldecott yang akan dilancarkan dalam penjualan HDB pada November.

Projek BTO baharu itu membentuk sebahagian daripada lebih 6,000 rumah di kawasan tersebut, yang kebanyakannya merangkumi perumahan awam serta beberapa perumahan privet, kata HDB.

Bersebelahan projek BTO itu, sebuah pembangunan bercampur yang menempatkan sebuah pusat beli-belah akan dibina sebagai sebahagian daripada rancangan menjadikan Toa Payoh West sebagai ‘nadi kedua’ bandar itu bagi melengkapkan Toa Payoh Central, tambah HDB.

Penduduk juga boleh berhimpun dan bersenam di sebuah ruang plaza di hadapan pembangunan itu.

Kawasan ini akan dihubungkan ke sebuah taman kesihatan baharu seluas 1.2 hektar yang dilengkapi taman permainan bertema alam semula jadi, balapan joging, stesen kecergasan serta ruang santai seperti denai rama-rama dan taman herba.

Secara berasingan, rangkaian taman dan ruang hijau lain dirancang merentasi Toa Payoh West bagi menghubungkan kawasan perumahan dengan kemudahan seperti stesen MRT Caldecott dan pusat beli-belah baharu itu.

Menurut Encik Chee, pusat beli-belah itu akan mempunyai skala saiz yang serupa dengan The Woodleigh Mall di Bidadari.

Bagi menyerupai rupa bumi berbukit di kawasan berkenaan, ketinggian bangunan bagi pembangunan perumahan baharu akan direka bertingkat menurun ke arah ‘lembah’ ini, dengan bangunan lebih rendah dan ruang terbuka diselang-selikan di antara blok kediaman yang lebih tinggi, jelas HDB.

Laluan pejalan kaki baharu selebar 15 meter yang diteduhi pokok akan dibina antara stesen Caldecott dengan Lorong 1 Toa Payoh bagi menghubungkan Toa Payoh West dengan seluruh bandar tersebut, tambahnya.

HDB berkata rancangan baharu bagi Toa Payoh West itu berpaksikan usaha transformasi Toa Payoh secara menyeluruh.

Pembangunan utama seterusnya bagi kawasan itu ialah Pembangunan Bersepadu Toa Payoh yang dijadual siap menjelang 2030.

Menurut Encik Chee, penyegaran semula kejiranan di Toa Payoh serta pembangunan bersepadu baharu itu akan menawarkan lebih banyak pilihan kepada penduduk dan menjadikan bandar itu tempat tinggal yang lebih baik untuk semua peringkat usia.

Menyentuh tentang projek Toa Payoh Hillside, Encik Chee berkata ia bakal merangkumi blok flat kediaman berbantu yang pertama di bandar itu, atau turut dikenali sebagai flat jagaan masyarakat, dengan laluan berbumbung ke stesen MRT Caldecott serta kemudahan lain seperti Pusat Penuaan Aktif (AAC).

Flat jagaan masyarakat mula diperkenalkan di bawah projek rintis 2021 bagi menyepadukan perumahan mesra warga emas dengan perkhidmatan penjagaan dan sosial.

Di Toa Payoh Hillside, sebanyak 260 flat seumpamanya akan menyediakan ciri khas seperti papan tanda berwarna untuk memudahkan pengemudian serta palang pemegang di sepanjang koridor bersama bagi membantu penduduk bergerak dengan selamat dan yakin, ujar HDB dalam kenyataannya pada 31 Oktober.

Unit ini merupakan flat kediaman berbantu pertama yang dilancarkan selepas had usia kelayakan diturunkan daripada 65 tahun kepada 55 tahun pada Julai susulan sambutan hambar dalam latihan penjualan sebelum ini.

Bayaran perkhidmatan juga ditetapkan berkurangan antara 18 dengan 75 peratus.

Blok flat kediaman dibantu itu merupakan satu daripada lima blok kediaman setinggi 31 hingga 43 tingkat di projek BTO baharu berkenaan, yang merangkumi 590 flat fleksi dua bilik, 580 flat empat bilik dan kira-kira 230 unit sewa awam, kata HDB.

Toa Payoh Hillside turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti medan selera, pasar raya, kedai, taman permainan dan kebun masyarakat.

Pameran pelan induk Toa Payoh West berlangsung sehingga 2 November di galeri Aras 1 HDB Hub.