Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 70% kanak-kanak K2 tadika MOE daftar darjah 1 di sekolah rendah kerabat

Jul 28, 2021 | 5:30 AM
54feb46a-cbfc-4a4a-851b-2b4b49569ae2
-

LEBIH 70 peratus daripada 3,400 murid Tadika 2 yang akan meninggalkan tadika Kementerian Pendidikan (MOE) tahun ini mendaftar bagi tempat Darjah Satu di sekolah rendah kerabat (affliated) dengan tadika mereka.

Biasanya, tadika MOE terletak dalam pekarangan sekolah rendah kerabab.

Sekitar 28 peratus daripada murid itu mendaftar di bawah Fasa 1 proses pendaftaran Darjah 1 yang sedang berlangsung, sementara lagi 43 peratus mendaftar di bawah Fasa 2A(2), kata Kementerian Pendidikan (MOE) semasa menjawab pertanyaan The Straits Times.

Sekarang terdapat 36 tadika MOE, yang kebanyakannya terletak dalam pekarangan sebuah sekolah rendah.

Ini termasuk MOE Kindergarten@Anchor Green, yang terletak di Sekolah Rendah Anchor Green dan MOE Kindergarten @ Horizon, di Sekolah Rendah Horizon.

MOE berkata bilangan murid dari tadika MOE yang memohon dan berjaya mendapat tempat di sekolah rendah kerabat berubah dari tahun ke tahun dan bergantung pada permintaan ibu bapa dan tempat yang ada.

Ia menambah: "Mereka layak mendaftar di bawah Fasa 2A(2) di sekolah rendah tersebut, tetapi kemasukan mereka tidak dijamin kerana ini bergantung pada tempat yang ada dalam fasa itu."

MOE berkata kanak-kanak boleh mendaftar di sekolah rendah kerabat tadika masing-masing, tetapi mereka juga boleh mendaftar di sekolah lain pada fasa lain, jika mereka layak berbuat demikian.

Sebagai contoh, murid yang mempunyai kakak atau abang di sekolah rendah yang dikehendaki boleh mendaftar di bawah Fasa 1.

Fasa tersebut diperuntuk bagi murid yang mempunyai adik-beradik di sekolah pilihan mereka, sementara Fasa 2A(2) ialah bagi kanak-kanak yang adik-beradik atau ibu bapanya alumni sekolah atau bekerja di sekolah tersebut.

Kanak-kanak yang menyertai tadika MOE di sekolah rendah itu juga layak mendaftar dalam fasa itu. Fasa 2A(2) berakhir Jumaat lalu.

MOE berkata kanak-kanak yang akan meninggalkan tadika MOE tetapi tidak mendaftar di sekolah kerabat mungkin telah mendaftar di sekolah lain atau belum mendaftar.

Menurut MOE, ia memastikan ada tempat mencukupi di sekolah rendah bagi semua kanak-kanak, tidak kira di mana prasekolah mereka.

"Untuk memastikan akses terbuka kepada semua sekolah rendah, kami terus memastikan ruang minimum 40 tempat di setiap sekolah rendah bagi Fasa 2B dan Fasa 2C.

Program tadika MOE bermula pada 2014. Pada Mei lalu, MOE berkata ia akan membuka tujuh lagi tadika baru antara 2024 dengan 2025.

Kesemuanya akan terletak di sekolah rendah dan masing-masing akan menawarkan sekitar 100 hingga 120 tempat tadika Tahun 1 (K1).

Apabila tujuh tadika baru itu dibuka, bilangan tadika MOE akan bertambah menjadi 57, menyediakan 7,900 tempat K1 pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg