Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 70% pekerja penghantaran makanan raih pendapatan kurang $3,000: Tinjauan

IPS tinjau 1,002 pekerja, lebih separuh bimbang tentang wang simpanan jangka panjang bagi persaraan, perubatan
Nov 5, 2022 | 5:30 AM
Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah -

LEBIH 70 peratus pekerja penghantaran makanan di Singapura meraih pendapatan kurang $3,000 sebulan, dengan pendapatan median mencecah $1,925.

Hanya sebilangan kecil, atau 3.2 peratus, penghantar makanan yang meraih $5,000 dan ke atas, dengan kebanyakan mereka meluangkan waktu lebih panjang untuk bekerja, iaitu 10 hingga 12 jam setiap hari.

Demikian menurut satu tinjauan Institut Kajian Dasar (IPS), Universiti Nasional Singapura (NUS), mengenai penghantar makanan platform di Singapura yang dikeluarkan semalam.

Tinjauan yang dijalankan ke atas 1,002 penghantar makanan berusia antara 21 tahun dengan 65 tahun daripada platform penghantaran makanan di Singapura, dengan 42 peratus daripada mereka merupakan orang Melayu, 52 peratus Cina, 5 peratus India dan 1 peratus lain-lain.

Dari segi pendapatan yang diraih daripada kerja penghantaran makanan, 13 peratus mendapat $2,000 hingga $2,999, 34 peratus $1,000 hingga $1,999 dan 24 peratus kurang $1,000.

Sekitar 46 peratus responden menyatakan mereka hanya bergantung kepada pekerjaan penghantaran makanan untuk mencari rezeki.

Walaupun terdapat dakwaan penghantar makanan yang dilaporkan meraih $8,000 atau lebih dalam sebulan daripada kerja penghantaran makanan, tinjauan IPS mendapati bahawa kebanyakan penghantar makanan percaya bahawa itu tidak realistik buat diri mereka.

Sebelum ini, terdapat laporan seorang pekerja penghantaran makanan berusia 36 tahun yang mendapat pendapatan $8,000 sebulan dengan berbasikal. Namun, beliau perlu bekerja setiap hari dari 11 pagi hingga 9 malam, meskipun hujan turun dengan lebat.

Dari segi wang simpanan, hanya satu dalam empat penghantar makanan mempunyai simpanan cukup untuk keperluan mereka dan keluarga bagi tiga hingga enam bulan seterusnya jika mereka berhenti kerja.

Lebih separuh penghantar makanan risau akan wang simpanan mereka dalam jangka masa panjang, lebih-lebih lagi untuk persaraan dan krisis perubatan yang tidak dijangka.

Justeru, terdapat keperluan jelas untuk perlindungan sosial memandangkan penghantar makanan mudah terdedah kepada kemalangan.

Ketua Makmal Sosial IPS, Dr Mathew Mathews, berkata:

"Saya rasa ia penting bahawa syarikat platform mencari cara untuk memberi ganjaran kepada mereka yang mengikuti peraturan, bukan hanya untuk melindungi pekerja platform, tetapi masyarakat lebih luas. Dan ia juga bermakna bahawa syarikat platform melakukan apa yang ia mampu untuk memastikan gaji pekerja platform mampan, cukup lumayan supaya dapat menjaga diri mereka dan keperluan keluarga mereka."

Penghantar yang meluangkan lebih masa melakukan kerja penghantaran makanan lebih berkemungkinan terlibat dalam sekurang-kurangnya satu kemalangan.

Kira-kira 38 peratus yang meluangkan masa 51 jam dan ke atas dalam seminggu telah terlibat dalam sekurang-kurangnya satu kemalangan.

Sebelum ini, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, menyatakan bahawa Jawatankuasa Penasihat mengenai Pekerja Platform, yang sedang meneliti usaha memperkukuh perlindungan bagi individu bekerja sendiri yang bertugas bagi syarikat platform, kini dalam peringkat akhir berunding bersama pihak berkepentingan, dengan saranan mungkin dimuktamadkan dan diumumkan dalam dua bulan ini.

Dr Koh berkata pihak berkepentingan, termasuk pekerja platform dan syarikat platform serta majikan dan kesatuan, sedang meneliti tiga aspek perlindungan untuk pekerja - kecukupan persaraan dan keperluan perumahan, pampasan kecederaan di tempat kerja, dan mewujudkan rangka kerja bagi pekerja mendapatkan perwakilan.

Tinjauan itu juga mendapati golongan penghantar makanan agak terbuka kepada kerjaya alternatif, dengan hampir separuh daripada mereka yang sanggup meninggalkan industri penghantaran makanan sebaik sahaja menerima peluang pekerjaan dalam industri lain.

Sebanyak 60.5 peratus menyatakan gaji lebih besar sebagai kriteria apabila memilih pekerjaan yang lain, dengan lebih sepertiga daripada penghantar makanan mahukan gaji sekurang-kurangnya $3,000 sebulan dalam pekerjaan baru sebelum mereka mempertimbangkan untuk berpindah keluar daripada industri penghantaran makanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg