LEBIH 70 peratus warga Singapura telah menyertai program jejak kontak nasional TraceTogether (TT) dengan lebih 3.8 juta orang yang menggunakan aplikasi atau token.
Ini sekali gus memenuhi sasaran yang ditetapkan pemerintah menjelang Fasa Ketiga pembukaan semula ekonomi negara pada 28 Disember ini.
Dr Balakrisnan menjelaskan sistem pendaftaran atau check-in digital SafeEntry yang menggunakan hanya TraceTogether sahaja tidak akan dilaksanakan sehingga semua warga mendapatkan token atau memuat turun aplikasinya.
Memberi perkembangan terkini menyusuli lawatan ke Kelab Masyarakat Kampong Kembangan semasa pengagihan token TraceTogether semalam, Menteri Bertanggungjawab Inisiatif Negara Bijak, Dr Vivian Balakrishnan, berkata beliau berbesar hati di atas keyakinan yang ditunjukkan masyarakat terhadap usaha pemerintah.
"Kita telah melebihi kadar penyertaan 70 peratus dalam TraceTogether. Terdapat lebih 2 juta orang yang memuat turun aplikasi, mendaftar dan menggunakannya.
"Selain itu, sejak 14 September kami mula mengagihkan token TraceTogether, kami sudah mengagih kira-kira 1.75 juta token sejauh ini.
"Jadi ini adalah jumlah yang signifikan dan saya berbesar hati dengan kepercayaan dan keyakinan rakyat Singapura," ujar Dr Balakrishnan, yang juga Menteri Luar.
Namun, beliau menekankan juga bahawa perangkaan dicapai bukanlah 'jumlah magis', memandangkan program menjejak kontak nasional itu akan menjadi jauh lebih berkesan sekiranya lebih ramai yang menyertainya.
"Jadi, usahlah kita berhenti di sini. Mari kita terus menjadikan ini sebagai sebahagian daripada norma baru dalam kita melangkah ke Fasa Ketiga," seru beliau.
Menurut Dr Balakrishnan, permintaan untuk token TraceTogether percuma telah melebihi jangkaan pemerintah.
Lebih 50 peratus warga sudah mendaftar dan mengambil token mereka di beberapa kelab masyarakat. Justeru pemerintah telah meningkatkan tempahan untuk token itu, tambahnya.
"Menjelang akhir Februari 2021, kami dijangka mengeluarkan sehingga 5 juta token, jadi jelas ia mencukupi untuk semua orang yang memerlukan token.
"Bagi beberapa minggu dan bulan mendatang ini, sedang bekalan token tambahan diterima, kami akan membuka semula kelab masyarakat yang buat masa ini tidak mengedarkan token.
"Jadi, saya mahu menekankan bahawa tidak ada perlunya untuk terburu-buru mendapatkan token," tekan beliau.
Sementara itu, pemerintah juga akan mulakan mengagihkan token itu kepada pelajar di sekolah-sekolah, namun lebih banyak butiran akan diberikan nanti, tambah Dr Balakrishnan.
Buat masa ini sistem SafeEntry dijadikan mandatori di pintu masuk tempat awam seperti pusat beli-belah, tarikan dan rumah ibadah. Namun apabila peraturan baru berkuatkuasa tahun depan, orang ramai perlu menggunakan aplikasi atau token TraceTogether untuk berbuat demikian.
Antara mereka yang mengambil token semalam ialah Cik Mariam Abdul Rahman, 72 tahun.
"Proses mengambil token semalam memang lancar. Dengan adanya token ini, lebih senang saya hendak masuk ke mana-mana nanti sebab saya tidak memiliki telefon bimbit untuk memuat turun aplikasi TraceTogether.
"Ini juga demi keselamatan dan kesihatan saya," kata ibu lima anak itu yang menetap di Chai Chee.
SEKILAS TOKEN TRACETOGETHER
Orang ramai akan dimaklumkan tentang tarikh pembukaan di kelab masyarakat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal.
Laporan lain:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg