SEBANYAK 736 kes jangkitan denggi dilaporkan di Singapura dalam minggu 10 hingga 16 April - angka tertinggi sejak minggu 30 Ogos hingga 5 September 2020 apabila 937 kes dirakamkan.
Sebaliknya, semasa minggu 11 hingga 17 April tahun lalu, 112 kes dilaporkan.
"Singapura kini sedang berdepan situasi denggi yang serius, dan boleh menyaksikan wabak denggi besar tahun ini," kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Ia berkata kenaikan mendadak kes yang berterusan tahun ini berlaku sebelum musim kemuncak denggi tradisional dari Jun hingga Oktober.
Sehingga kelmarin , terdapat 159 kelompok aktif di Singapura, dengan 33 daripadanya mempunyai 10 atau lebih kes.
Lebih 4,700 kes telah dilaporkan di sini sehingga 16 April, dengan NEA berkata ia menjangkakan lonjakan kes dalam beberapa bulan mendatang.
Tahun lalu, sebanyak 5,245 kes dilaporkan.
Agensi itu berkata terdapat tiga faktor utama yang mendorong lonjakan kes itu.
Pertama, cuaca panas, hujan dan lembap baru-baru ini mungkin telah mencetuskan jumlah tinggi nyamuk Aedes aegypti - yang menularkan penyakit itu - dalam masyarakat.
Kedua, serotaip 3 virus denggi yang tidak biasa sebelum ini kini menular di sini, di samping serotaip 2 virus denggi, yang telah menyumbang kepada wabak besar di sini pada 2019 dan 2020.
Ketiga, sebahagian orang masih tinggal dan bekerja dari rumah. Ini membawa kepada pendedahan lebih besar kepada nyamuk, yang makan pada siang hari.
Pihak berkuasa telah mengambil beberapa langkah baru untuk mengekang penularan penyakit itu.
Ini termasuk kempen yang disasarkan kepada mereka yang berurusan dengan tumbuhan menjelang Tahun Baru Cina, membawa ke hadapan pelancaran kempen pencegahan denggi nasional tahun ini, dan menggerakkan agensi, Anggota Parlimen (MP) dan pemimpin untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sebelum musim kemuncak denggi tradisional.
NEA juga telah mendekati industri binaan dan kawalan serangga untuk membantu menyelaraskan usaha mempertingkat langkah-langkah pencegahan, dan memperkenalkan sepanduk ungu untuk meningkatkan kesedaran awam dalam kawasan yang mempunyai populasi nyamuk Aedes aegypti yang tinggi secara berterusan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg